Tuesday 24 December 2019

PANORAMA MENARIK DI KAMPUNG TANJUNG KUALA SABAK

Kampung Tanjung Kuala Sabak merupakan antara kampung nelayan terkenal di Kelantan. Kebanyakan nelayan yang tinggal di sini asalnya dari beberapa buah kampung berhampiran yang telah lenyap dihakis ombak sejak lebih 30 tahun lalu. Kampung Tanjung Kuala Sabak boleh dianggap kampung penempatan semula nelayan, selain penduduk asal. Terdapat kira-kira 300 orang nelayan tinggal di kampung tersebut. 

Kampung Tanjung Kuala Sabak juga dipanggil sebagai Kampung Pulau Gajah memandangkan nama Kampung Pulau Gajah lebih dikenali atau nama umum sebagai merujuk kepada kampung-kampung yang berhampiran.

Kampung Tanjung Kuala Sabak semakin dikenali sebagai laluan menuju ke Masjid Ar-Rahman Pulau Gajah yang menjadi destinasi pilihan untuk melihat keunikan masjid tersebut.

Terdapat juga restoran menyediakan masakan ikan dan hasil laut segar yang mendapat kunjungan ramai.

Kampung Tanjung Kuala Sabak berpotensi menjadi kawasan pelancongan jika diurus selia dengan baik terutama kemudahan inap desa dan promosi mengenainya. 

Satu panorama menarik di kampung nelayan ini ialah bot-bot menangkap ikan yang dihias atau ada lukisan cantik pada bahagian badan bot.

Satu lokasi di Kampung Tanjung Kuala Sabak dikenali Pantai Nusuk menjadi lokasi kunjungan ramai. Kawasan yang luas dan cantik dengan dijaga kebersihan menjadikan Pantai Nusuk cukup terkenal. 


Pantai Nusuk, Kampung Tanjung Kuala Sabak

Saturday 21 December 2019

SEJARAH ETNIK UIGHUR XINJIANG

Kawasan Xinjiang, China merupakan antara lokasi terawal yang penduduknya menerima Islam sebagai anutan. Peristiwa itu berlaku hanya 20 tahun setelah Nabi Muhammad SAW wafat.

Xinjiang adalah kawasan di sempadan China, kira-kira 3,000 kilometer dari Makkah. Pemerintah Xinjiang pada ketika itu menerima perdamaian apabila menerima kedatangan sahabat Nabi bernama Abi Waqaaash.

Dengan perjanjian itu, Islam boleh disebar dan diamalkan di kawasan itu dengan aman.

Pada peringkat awal, memang amat kecil etnik Uighur yang menerima Islam. “Uighur” secara harfiah berarti “bersatu” atau “sekutu”. Ketika itu majoriti penduduk Uighur beragama Kristian dan Buddha.

Uighur yang melahirkan etnik Uighur  atau Uyghur atau Uigur bergabung dalam daulah Islam pada masa Uthman bin Affan. Dari Uighur inilah teknologi kertas pindah dari China ke negera muslim, sehingga dimulailah penyusunan mushaf Quran Utsmani.

Umat Islam di Uighur pernah mencapai kegemilangan bersama pemerintah China. Terdapat di kalangan pembesar di China adalah orang Islam. Antara tokoh terkenal yang beragama Islam ialah Laksamana Cheng Ho.

Selama 1.400 tahun Uighur tetap menjadi negeri muslim, walaupun pernah dikuasai Mongol di abad 13 Masihi. Bahkan pada era penjajahan era imperialis Eropah di China, para pahlawan Uighur, Xinjiang turut terlibat dalam peperangan mengusir tentera Eropah.

Ketika Mao komunis diusir dari kota-kota China tahun 1940an, mereka melarikan diri ke Xinjiang, menumpang hidup di wilayah Uighur.

Ketika revolusi China oleh Sun Yat Sen tahun 1910 masih ada jeneral China yang Muslim. Pada tahun 1945 ketika Mao komunis berkuasa, beberapa jeneral China yang Muslim menyelamatkan diri ke Taiwan.

Kisah penyebaran Islam secara meluas di Xinjiang bermula pada abad ke 10 Masihi. Pusat pemerintahan ketika itu ialah Kashgar yang kemudian telah menjadi pusat penyebaran Islam, kesenian dan kebudayaan Islam, lahir ratusan ulama serta penciptaan ribuan karya hebat.

Kegemilangan Khilafah Islam ini diteruskan oleh Kerajaan Seyyid atau Yarkent namun jatuh apabila Empayar Manchu telah menawan Timur Turkistan pada 1759 dan dijajah sehingga tahun 1862.

Setelah 42 peperangan telah berlaku, Empayar Manchu telah mengundurkan diri dan sekali lagi khilafah Islam tertegak dengan kerajaan baru; negara Yetteshehar pada tahun 1864.

Namun, ianya tidak kekal lama apabila Empayar Manchu mencerobohnya semula pada tahun 1876 dan setelah 8 kali peperangan berdarah tercetus, Timur Turkistan ditawan keseluruhannya dan ditukarkan namanya ke ‘’Xinjiang’’ yang bermaksud ‘’Wilayah Baru’’ pada 18 November 1884.

Selepas itu, peluang untuk khilafah Islam menyinar semula telah ditenggelamkan oleh Nasionalis China yang telah menjatuhkan Empayar Manchu pada tahun 1911 dam secara automatik menguasai keseluruhan wilayah yang ditakhluk oleh Empayar Manchu.

Pada ketika itu, kawalan China ke atas Timur Turkistan agak longgar dan kesempatan ini telah digunakan oleh Muslim Uighur untuk bebas dari cengkaman China hingga tertubuhnya Republik Timur Turkistan (ETR) setelah dua kali penentangan berlaku pada tahun 1933 dan 1944.

China yang tidak berdiam diri, telah melancarkan pencerobohan tentera dan dalam masa yang sama Soviet Union telah melakukan tipu daya politik ke atas Timur Turkistan lalu, republik ini berakhir apabila People’s Liberation Army (PLA) telah merusuh di Timur Turkistan pada tahun 1949 hingga tertubuhnya Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang (XUAR).

Sejak itu, pelbagai tragedi hitam telah berlaku di Timur Turkistan dengan diikuti kempen-kempen yang kejam ke atas Muslim Uighur. Namun, semangat mereka tidak pernah luntur dan sentiasa mengingatkan generasi mereka akan perjuangan mereka dalam menentang kezaliman China.

Kini populasi Muslim Uighur telah melebihi 20 juta orang namun semakin tenggelam akibat imigran Han yang membanjiri wilayah tersebut dan meningkat saban tahun. Tindakan China ini boleh disamakan dengan penjajahan Israel ke atas Palestin dan kekejaman Burma ke atas Muslim Rohingya.

Kisah penganiayaan Muslim Uighur bukanlah kisah baru kerana media telah lama mengikuti kisah mereka namun, disebabkan polisi China yang ketat ke atas media massanya, kisah mereka tidak banyak dipaparkan oleh mana-mana pihak. 

Tuesday 17 December 2019

BACHOK BANDAR PELANCONGAN ISLAM

Majlis Daerah Bachok dikenali Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam. Pemilihan nama "Bandar Pelancongan Islam" adalah manifestasi hasrat untuk memajukan Bachok sebagai daerah pelancongan yang terteraskan kepada ciri-ciri Islam.

Daerah Bachok dianugerahkan kawasan pantai yang cantik. Bukan satu pantai, tetapi beberapa pantai. Menganjur dari utara terkenal Pantai Senok yang lebih dikenali dengan nama Pulau Nami.  Nama Pulau Nami adalah gelaran memandangkan kawasan itu dihiasi dengan pokok rhu yang seakan-akan keadaan di Pulau Nami, Korea Selatan.

Tidak kira-kira tiga kilometer dari Pantai Senok, terbentang indah pula Pantai Kemayang yang kini turut dipanggil Teluk Kemayang. Bersebelahan Pantai Kemayang yang dipisahkan oleh Sungai Kemasin tersedia pula Pantai Kemasin yang tidak kurang terkenal menjadi lokasi kunjungan orang ramai.

Nama lain yang tidak kurang terkenal ialah Pantai Perupok. Terdapat pengusaha kini membangunkan kawasan itu dengan kemudahan chelat.

Tentu sekali, jika menyenaraikan nama pantai di Bachok, tidak sah jika tidak menyebut Pantai Irama. Pantai Irama terletak di pinggir Bandar Bachok dan paling awal dibangunkan sebagai pusat pelancongan sejak lebih setengah abad lalu.

Jaraknya dari Kota Bharu kira-kira 20 km melalui jalan Kota Bharu-Tawang-Bachok (D5) yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

Terus ke arah selatan, kita akan bertemu pula dengan Pantai Nipah dan Pantai Melawi sehinggalah menganjur sampai ke sempadan daerah Pasir Puteh.

Di sepanjang pantai di Melawi, terdapat puluhan pengusaha pelancoangan yang mengusahakan chelet dan resort untuk kemudahan orang ramai menginap dan menikmati keindahan pantai di kawasan berkenaan.

Friday 13 December 2019

KERIS PENGANTIN TIADA ROH PAHLAWAN

Masa berlalu turut membawa 'roh' keris di kalangan orang Melayu. Keris tidak lagi dipandang hebat. Yang sandang keris sekarang sekadar pegang sarung dan hulunya. Mata keris tidak diperdulikan tajam atau tidak. Keris tidak lagi diasap kemenyan dengan belahan limau purut.

Keris kini disandang oleh pengantin baharu. Diperaga dan dipertontonkan tanda akulah raja sehari. Namum, di jiwanya tidak ada semangat keris yang dibanggakan pahlawan dahulu kala.

Sebab itu, penyandang keris sekarang bukan golongan berani mati. Kalaupun bertikam akan menggunakan senjata yang lain.

Sebab itu ada satu jenis keris yang dipanggil 'keris pengantin'. Sarung dan ulu keris diukir cantik. Namun, mata keris sekadar hiasan tanpa mampu mencederakan sesiapa, apa lagi hendak membunuh.

Lalu, ada sebuah pantun yang sesuai dengan suasana sekarang. Bunyi pantun itu:

Apa guna pergi ke bendang
Jika tidak menanam padi
Apa guna keris bersilang
Kalau takut sama bini 

Monday 2 December 2019

Pahala untuk ibu

Sesudah solat Jumaat aku masih duduk di masjid berhmpiran sebuah sekolah rendah agama. Jemaah masjid sudah sepi, balik dengan hal masing-masing.

Seorang nenek tua menjual kuih tradisional menawarkan jualannya. Satu plastik harganya satu ringgit. Aku sebetulnya tidak berminat, tetapi kerana kasihan aku beli satu plastik.

Si nenek penjual kuih kelihatan letih dan duduk di tangga masjid tidak jauh dariku. Kulihat masih banyak jualannya.

Tak lama kemudian, kulihat seorang  murid mendatangi si nenek. Aku kira murid ini baru darjah satu atau dua.

Dialognya dengan si nenek jelas terdengar dari tempatku duduk.
“Berapa harganya nek?”
“Satu plastik kuih 1 ringgit, nak”, jawab si nenek.

Murid itu mengeluarkan wang lima ringgit dari sakunya dan berkata:

“Saya beli 5 plastik, ini duitnya, tapi buat nenek...dan kuihnya boleh dijual lagi.”

Nenek tua jelas sekali terlihat berkaca-kaca air matanya:

“Ya Allah syukur dan terimakasih ye nak. Alhamdulillah Ya Allah, Kau telah kabulkan doaku untuk membeli ubat cucuku  yang sakit.” Si nenek meneruskan jualannya..

Lantas aku memanggil murid tadi..

“Siapa namamu? Darjah berapa?”
“Nama saya Puaad, darjah 2, pakcik”, jawabnya sopan.
“Wang belanja kamu sehari lima ringgit, ye?'”

”Oh .. tak pakcik, saya diberi belanja 1 ringgit sehari. Tapi saya tidak pernah belanja, sebab saya bawa bekal dari rumah.”

“Jadi duit kamu bagi nenek tadi simpanan  kamu sejak hari Isnin?”, tanyaku semakin tertarik.

“Betul pakcik. Jadi setiap Jumaat saya boleh sedekahkan lima ringgit."

"Dan sesudah itu saya selalu berdoa agar Allah berikan pahalanya untuk ibu saya yang sudah meninggal dunia. Saya pernah mendengar ceramah ada seorang ibu yang Allah ampuni dan selamatkan dari api neraka kerana anaknya bersedekah sekeping roti, pakcik”, murid itu menjelaskan dengan fasihnya."

Aku pegang bahu murid itu :

”Sejak bila ibumu meninggal, Puaad?”

“Ketika saya masih tadika, pakcik”

Tak terasa air mataku mengalir.

“Hatimu jauh lebih mulia dari aku Puaad, ini pakcik gantikan duit kamu yang lima ringgit tadi ya…”, kataku sambil menyerahkan sekeping not lima ringgit ke tangannya.

Tapi dengan sopan Puaad menolaknya dan berkata: “Terima kasih, pakcik… tapi ini untuk keperluan pakcik, saya masih sekolah dan tidak ada tanggungan… tapi pakcik ada keluarga…. saya pergi dulu pakcik”.

Puaad menyalami tanganku dan menciumnya.

“Allah menjagamu, nak ..”, jawabku sedih.

Aku pun beranjak pergi, tidak jauh dari situ kulihat si nenek penjual kuih ada di sebuah kedai ubat. Bergegas aku kesana, kulihat nenek membayar duit untuk ubat yang dibelinya.

Aku bertanya kepada penjua berapa harga ubatnya. Penjual menjawab: ”Empat ringgit”

Aku serahkan wang yang ditolak oleh Puaad tadi kepada pejual: ”Ini saya yang bayar… kembalikan duit dan berikan kepada nenek ini..”

“Ya Allah.. Nak…”

Belum sempat nenek berterima kasih, aku sudah bergegas meninggalkan kedai itu. Aku bergegas untuk melanjutkan perjalananku lagi.

Dalam hati aku berdoa semoga Allah menerima sedekahku dan ampuni kedua orang tuaku yang sudah meninggal serta anak-anakku yang sedang menuntut ilmu.

Saudara-saudaraku..... adakalanya seorang anak lebih jujur daripada orang dewasa. Ajarkanlah anak-anak kita dari kecil tindakan yang perlu dilakukan dan bukan teori semata-mata.

Monday 25 November 2019

ANGKASA PEMACU GERAKAN KOPERASI MALAYSIA

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah didaftarkan pada 12 Mei 1971 di bawah Ordinan Koperatif 33/1948.

ANGKASA ditubuhkan hasil daripada cadangan Kongres Kerjasama Kedua yang dirasmikan oleh YAB Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

ANGKASA telah diangkat sebagai sebuah koperasi yang mewakili gerakan koperasi seluruh Malaysia. Pada 23 Mei 1996, perisytiharan pengiktirafan ini telah diwartakan.

"Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Perenggan 57(2)(b) Akta 502 Akta 502 Akta Koperasi 1993, Menteri mengisytiharkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebagai badan yang mewakili gerakan koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," menurut [KTPK.(S)07/49/1/9: PN. (PU2) 572/III].

ANGKASA menjadi penaung kepada koperasi seluruh Malaysia. Sehingga Oktober 2019, terdapat 10150 buah koperasi seluruh Malaysia bernaung atau menjadi ahli kepada ANGKASA.

Ahli ANGKASA adalah koperasi dan bukannya individu. Ramai tersalah anggap mengatakan dia menjadi ahli ANGKASA apabila membuat potongan bayaran melalui ANGKASA.

Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA) ialah satu sistem di mana semua potongan koperasi dan lain-lain organisasi diuruskan melalui satu saluran demi memudahkan urusan potongan gaji anggota diproses oleh jabatan kerajaan atau majikan swasta (yang berdaftar dengan BPA).

Sistem ini juga merupakan satu kemudahan kepada koperasi dan lain-lain organisasi untuk mengutip bayaran seperti yuran, saham, ansuran pinjaman dan sebagainya dengan cara lebih bersistematik dan terjamin.

Bagi anggota koperasi, sistem ini memberi kemudahan untuk mereka membayar balik semua ansuran pinjaman atau lain-lain tuntutan kepada koperasi atau organisasi lain melalui sekali arahan.

Sistem ini diwujudkan bagi memudahkan urusan semua pihak, sama ada “jabatan/majikan” dalam urusan penyediaan gaji setiap bulan, “koperasi/organisasi” dalam urusan mengutip bayaran balik pinjaman dan yuran manakala “anggota/individu” dalam urusan menyelesaikan bayaran ansuran setiap bulan.

Selain menjadi penaung kepada koperasi, ANGKASA  mempunyai operasi perniagaan sendiri.

Monday 18 November 2019

CARA KEDUDUKAN KETIKA TIDUR YANG BAIK DIAMALKAN

Amalan atau cara tidur membantu untuk memberi keselesaan semasa tidur. Tidur yang berkualiti amat penting bagi memastikan kesihatan lebih baik dan dapat melakukan tugasan dengan baik pada keesokan hari.

Antara amalan yang perlu dilakukan ialah sebelum tidur pastikan diri dalam keadaan bersih dan disarankan mengambil wuduk supaya diri berasa semangat mahu tidur dan keadaan yang bersih disukai Allah.

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Apabila kamu mahu tidur ambil wuduk dulu seperti kamu mahu sembahyang, kemudian baringlah di sebelah kanan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi Muhammad SAW suka tidur mengiring ke sebelah kanan. Baginda SAW tidur berlapikkan bantal yang sesuai dan membenci tidur secara meniarap. Ucapan memuji Allah sering diucap pada bibir.

Tidurlah di atas rusuk kanan dan menghadap kiblat. Berusahalah menjaga adab tidur, elakkan kaki bersilang atau tertiarap dan mengangkat punggung. Tutuplah aurat dan tidurlah di tempat yang terselamat daripada bahaya serta kekotoran.

Dalam satu hadis bermaksud: “Nabi melihat seorang lelaki tidur sambil meniarap, lantas baginda berkata: Inilah cara berbaring yang dibenci Allah.” (Hadis riwayat Tarmizi)

Tidur dengan menirap di atas perutnya selepas tempoh yang tertentu akan merasai kesusahan untuk bernafas kerana beratnya gumpalan belakang badan yang besar yang menghalang dada daripada meregang dan mengecut ketika menghembus dan menyedut nafas. Kedudukan seperti ini juga menyebabkan kesukaran pernafasan yang boleh mengganggu jantung dan otak.

Saintis mengakui kedudukan tidur Nabi Muhammad SAW itu adalah model terbaik. Ia mampu memberi kesan kepada kesihatan badan. Tidur cara Nabi Muhammad SAW mampu merehatkan badan dan menjaga kesihatan tulang leher.

Pakar perubatan mencadangkan dua kedudukan semasa tidur, iaitu mengiring dengan meluruskan tulang belakang atau menelentang di belakang dengan muka dan badan mengadap ke atas dengan menjaga bengkokkan tulang leher.

Anak Rasulullah SAW, Fatimah pernah menemui ayahandanya untuk meminta tawanan perang sebagai pembantu rumah kerana penat melakukan tugasan rumah tangga, tetapi tidak dipenuhi Baginda.

Sebaliknya, Baginda SAW mengajarkan mereka cara lebih baik daripada itu, iaitu mengamalkan zikir pada waktu hendak tidur dengan membaca pujian bagi Allah (subhanallah sebanyak 33 kali) diikuti Alhamdulillah dan Allahuakbar.

Itu adalah cara tidur sebaiknya diamalkan sambil berzikir memohon kebaikan serta kesejahteraan daripada Allah. Cara lain ialah membaca surah digalakkan seperti al-Fatihah, ayat Kursi, tiga ‘Kul’ dan doa sebelum tidur bagi mengelak gangguan.

Orang dewasa memerlukan masa tidur selama enam hingga lapan jam sehari. Bagi kanak-kanak pula memerlukan masa tidur yang lebih panjang. Lain pula bagi golongan veteran yang mencapai usia emas, pola tidur mereka adalah antara empat hingga lima jam sehari.

Tuesday 12 November 2019

KHASIAT BAWANG PUTIH LANANG

Bawang putih tunggal dipercayai memiliki khasiat lebih tinggi berbanding bawang putih biasa. Bawang putih tunggal juga dikenali bawang putih lanang. Lanang adalah istilah Jawa yang bermaksud lelaki atau jantan.

Khasiat bawang putih jantan bertambah-tambah apabila direndam atau diperam di dalam madu. Ia dipanggil jeruk bawang putih lanang.

Khasiat bawang putih tunggal:
- Melancarkan peredaran darah.
- Boleh diikhtiar kepada pesakit kanser.
- Menambah stamina.
- Darah tinggi.
- Kolesterol
- Jantung
- Strok
- Migran
- Kanser
- Selesema
- Sembelit
- Lemah syahwat
- Asma
- Batuk kering
- Kencing manis
- Jerawat
- Sakit gigi
- Sakit sendi
- Memperbaiki saraf otak
- Mengurangkan rasa sakit ketika haid.

Wednesday 6 November 2019

CARA MENANAM PISANG BERANGAN

Maklumat ini diperolehi daripada pengurus ladang pisang yang menjaga Ladang Pisang seluas 65 ekar di Johor.

- Setiap pokok pisang hanya dikekalkan dengan 8 daun sahaja.

- Untuk pisang berangan, buah hanya dikekalkan 10-12 sikat sahaja, selebihnya dibuang bersama jantung. Ini penting untuk menghasilkan buah yang besar dan berat yang maksimum.

- Setiap tandan pisang perlu dibungkus dengan menggunakan kertas daripada jenis kertas simen atau kertas pembungkus dedak ayam. Gunakan staple dan ditutup rapat sehingga hujung pisang.

- Apabila jantung keluar bilangan daun hanya dikekalkan 6 helai sahaja.

- Anak pisang pertama hanya dibela apabila jantung pisang sudah keluar sahaja untuk mendapatkan pokok ibu yang benar-benar subur.

- Setelah jantung pisang dipotong, daun hanya dikekalkan 4 helai sahaja.

- Apabila jantung telah keluar, berhentikan pembajaan kepada pokok bagi mengelakkan buah pisang yang mengkal atau keras dan kualiti pisang jatuh.

- Pembajaan :
a. Mula menanam - letakkan baja penggalak akar dalam lubang sebelum menanam.
b. Setelah umur 3 bulan tabur baja subur 15:15:15.
c. Setelah umur 6-7 bulan tabur baja buah 12:12:17:2.
d. Kadar baja hanya segenggam atau 250gram setiap pokok.

- Merumput : Gunakan baja sentuh ICI atau BASTA. JANGAN gunakan racun serap. Pokok tidak perlu ditajak untuk merumput memadai hanya meracun sahaja. Tanah juga tidak perlu digemburkan di keliling pokok untuk elakkan pokok tumbang. Untuk meracun bancuhan adalah 70ml bagi 18 liter air. Pasikan bancuhan dikacau hingga sebati sebelum digunakan bagi mendapatkan kesan yang maksimum.

- Penyakit : Jika daun pisang berkarat kuning atau batang pisang berbintik-bintik hitam dan berlendir akibat serangan kulat sembur dengan bancuhan kapur seluruh pokok hingga pokok menjadi putih.

- Memetik Buah. Buah boleh dipetik apabila 2-3 daun telah layu atau kering.

Selamat mencuba aturan ini!


Sunday 3 November 2019

Maksud "thai" yang menjadi nama Thailand

Maksud perkataan "thai" terdapat pelbagai teori tetapi yang paling popularnya, ia bermaksud “bebas”. Diteorikan bahawa Siam telah memberikan laluannya kepada dua bangsa penjajah iaitu Inggeris dan Jepun untuk menceroboh Tanah Melayu.

Mereka menyatakan bahawa mereka “tidak mahu bergaduh dengan sesiapa” dan ingin “bebas”. Lalu timbullah nama “Thailand” iaitu “Tanah Bebas”. “Land” itu sendiri adalah bahasa Inggeris dengan jelas menunjukkan ianya dinamakan oleh bangsa Inggeris.

Perkataan “Siam” dalam satu teori menyatakan ianya bermaksud "hitam". Terdapat “tukang-tukang tilik” menyatakan nama “Siam” tidak sesuai, lalu ditukar menjadi “Thailand”.


Tuesday 29 October 2019

Tinggalan sejarah di Bukit Kutu Hulu Selangor

Era pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu membawa kepada pembukaan pusat peranginan atau pertanian di kawasan tanah tinggi. Penerokaan dan pembukaan tanah tinggi dikaitkan dengan hasrat pegawai Inggeris yang ingin menikmati susana cuaca sejuk seperti di tempat asal mereka.

Salah satu lokasi tersebut ialah Bukit Kutu atau dahulunya dikenali Treacher's Hill. Bukit Kutu yang berketinggian 1053 dari aras laut terletak di daerah Hulu Selangor iaitu di Kuala Kubu Baru berhampiran Kampung Pertak, Selangor

Nama Treacher’s Hill adalah sempena Sir William Hood Treacher yang menemui tempat ini pada tahun 1893 dan menurut sejarah, Sir WH Treacher, telah berkhidmat sebagai Residen British di Selangor dari 1892 hingga 1896.

Di puncak Bukit Kutu terdapat dataran yang menjadi 'kompleks' penempatan dan pentadbiran. Ketika zaman kolonial British, puncak Bukit Kutu adalah stesen pemantauan tentera British. Namun ia terbengkalai setelah dibom oleh tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Keseluruhan binaannya telah rosak dan runtuh serta ditumbuhi semak-samun dan pohon rimba. Kini, yang masih kekal hanyalah bahagian tiang, lantai, rangka bangunan dan tangga serta cerobong asap dan dua buah perigi lama yang salah satunya masih boleh digunakan dan masih terdapat sumber air di dalamnya.

Bukit Kutu kini menjadi lokasi pendakian yang semakin terkenal. Selain mencabar kekuatan fizikal dan minda, pendaki juga dapat melihat tinggalan sejarah itu.

Bukit Kutu wajar diperkenalkan sebagai pendakian bukit bersejarah.

Thursday 24 October 2019

Tindakan asingkan saf kanak-kanak

Kerap berlaku imam atau petugas masjid yang marah kepada kanak-kanak berbuat bising di masjid. Bahkan, kanak-kanak itu 'diusir' daripada bersembahyang bersama-sama dengan orang dewasa. Mereka diasingkan di saf belakang atau hanya dibenarkan berada di bahagian belakang ruang solat.

Hal itu terjadi kerana kanak-kanak dilayan 'kejam' berdasarkan kepada pendapat yang mengatakan kanak-kanak yang belum baligh atau belum bersunat tidak dibenarkan berada di saf orang dewasa.

Antara hujah yang digunakan juga ialah kanak-kanak itu menaggung najis yang sekiranya bersolat bersama di dalam satu saf maka akan batallah solat orang dewasa yang bersentuhan dengannya.  

Hujah ini tidak dibina di atas dalil al-Quran dan sunnah. Bahkan Nabi SAW mendukung cucunya ketika solat.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: “Hadis menunjukkan bersihnya pakaian kanak-kanak, sekiranya dihukumkan najis sudah tentu Nabi tidak mendukungnya, begitu juga yang dinaskan (disebut) oleh Imam Syafie dan selainnya.” 

Kanak-kanak yang diasingkan di belakang boleh menyebabkan mereka bermain-main dan berbuat bising dan perkara ini tidak terjadi jika kanak-kanak di dalam barisan orang dewasa di bawah pengawasan penjaganya.

Membawa kanak-kanak ke masjid dan diajar sembahyang bersama-sama dalam satu saf adalah cara mendidik mereka. Bukan dengan mengasingkan mereka. 

Ibu bapa yang membawa anak ke masjid dalam rangka mendidik adalah terbaik namun dinasihatkan juga supaya mengawal anak-anak agar tidak menganggu jemaah yang sedang bersolat dan beribadah.

Syaikh Ibnu Utsaimin di dalam Fatawa Islamiyah 2/8 ada melarang ibu bapa dari membawa anak-anak jika menganggu jemaah yang sedang menunaikan kewajipan bersolat. Sebaik-baiknya bawalah anak-anak yang berusia tujuh tahun ke masjid sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: “Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia 7 tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad, 11/369, no. 6756. Dinilai hasan oleh an-Nawawi, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth)

Tiada larangan mutlak membawa anak di bawah umur 7 tahun cuma perlu dipastikan mereka dijaga dan tidak menganggu jemaah melakukan ibadah.

Cara terbaik untuk mendisplin dan mendidik kanak-kanak bersembahyang adalah berada bersama-sama bapanya atau orang dewasa.

Saturday 19 October 2019

Cina Kelantan bantu promosi produk Muslim

Hubungan kaum antara Melayu dan Cina serta bangsa lain di Kelantan memang untuk dan cukup harmoni. Tiada sikap dengki atau menjatuhkan kaum lain. Malah, apa yang dilakukan adalah saling tolong menolong dan menghormati.

Mereka akan menolong atau membantu tanpa melihat kaum. Apa yang dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab untuk saling membantu, lebih-lebih lagi mereka tinggal satu kampung saling kenal mengenali.

Di sini ambo salin dan tampal satu posting yang dibuat oleh seorang kaum Cina mempromosi roti canai segera yang dihasilkan oleh seorang pengusaha Melayu.

Ini catatan yang dimaksudkan:

KALU NOK MAKE ROTI CANAI SEGERA BERSAMA KELUARGA, KELIH JENAMA NI, BELILAH TANPA RAGU-RAGU.

BARE SEDAP TAPI YANG GERENTINYO,KEBERSIHAN NO 1. AMO GI KELIH SENDIRI DENGAN 4 MATO KAWE. ORE BIASA 2 MATA JAH TAPI KAWE 4 SEKALI NGAN SPEK.

Betapa indahnya jika suasana ini dapat dilihat diamalkan di seluruh negara oleh semua rakyat.

Wednesday 16 October 2019

Bagaimana cara guru melakukan kerja dakwah

Proses melakukan kerja-kerja dakwah bukan perkara mudah biarpun menjadi tanggungjawab semua orang. Terdapat pendekatan dakwah yang berkesan perlu dipelajari dan diamalkan dalam melaksanakan tugasan dakwah.    

Sesungguhnya tugas penting ini tidak terlepas daripada menghadapi cabaran, tambah lagi dalam situasi sekarang yang mana dunia tanpa sempadan serta usaha pihak-pihak tertentu yang ingin menghancurkan Islam melalui serangan pemikiran. Pendidik berperanan mendidik pelajar berdepan cabaran tersebut.     

Dalam semua keadaan, kita tidak terlepas menghadapi cabaran. Namun, tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Apa yang penting ialah usaha dengan pendekatan yang susuai untuk mengatasinya.

Dakwah tidak hanya disampai melalui ucapan atau kata-kata. Dakwah juga boleh disampaikan melalui tulisan, perbuatan dan contoh. Justeru, guru mempunyai pelbagai cara untuk melaksanakan dakwah bukan saja kepada pelajar, bahkan kepada masyarakat umum. Terdapat beberapa kaedah boleh dilakukan oleh guru untuk melaksanakan dakwah iaitu,

Sedia diketahui, tugas utama guru ialah mengajar matapelajaran di bilik darjah. Setiap guru ada matapelajran khusus dan pilihan yang dipertanggungjawabkan mengajar pelajar.

Bagi guru yang mengajar matapelajaran berkaitan ibadah dan pengetahuan Islam, tugas dakwah tidak sukar dilaksanakan. Ia sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab dan sukatan pelajaran yang ditetapkan. 

Dalam kontes ini, guru berkenaan perlu melaksanakan dengan penuh dedikasi bukan saja bertujuan untuk pelajar lulus peperiksaan, tetapi tidak kurang pentingnya ialah untuk dijadikan amalan kehidupan seharian. 

Sesungguhnya setiap ilmu yang dipelajari adalah untuk diamalkan. Ilmu yang dipelajari tetapi tidak diamalkan tidak memberi manfaat umpama seperti pokok yang subur tetapi tidak berbuah. 

Hari ini banyak pelajar berjaya mendapat keputusan cemerlang, tetapi bankrap moralnya. Kita gagal menghasilkan rakyat minda kelas pertama.

Bagi guru yang mengajar matapelajaran tiada kaitan dengan agama, mereka masih berpeluang melaksanakan dakwah. Sesungguhnya semua pengetahuan mempunyai kaitan dengan agama.

Contoh pelajaran sains juga mempunyai kaitan dengan agama kerana ia adalah ilmu yang berkaitan dengan apa yang dicipta oleh Allah. Dengan itu, guru sains perlu bijak bagaimana hendak kaitkan sains dengan dakwah. 

Antara yang boleh dikaitkan ialah kekuasaan Allah mencipta alam ini. Pelajar perlu berasa apa juga yang berlaku di sekeliling ini adalah kuasa Allah dan sekaligus meletakkan diri semakin hampir kepada-Nya.