Tuesday 29 October 2019

Tinggalan sejarah di Bukit Kutu Hulu Selangor

Era pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu membawa kepada pembukaan pusat peranginan atau pertanian di kawasan tanah tinggi. Penerokaan dan pembukaan tanah tinggi dikaitkan dengan hasrat pegawai Inggeris yang ingin menikmati susana cuaca sejuk seperti di tempat asal mereka.

Salah satu lokasi tersebut ialah Bukit Kutu atau dahulunya dikenali Treacher's Hill. Bukit Kutu yang berketinggian 1053 dari aras laut terletak di daerah Hulu Selangor iaitu di Kuala Kubu Baru berhampiran Kampung Pertak, Selangor

Nama Treacher’s Hill adalah sempena Sir William Hood Treacher yang menemui tempat ini pada tahun 1893 dan menurut sejarah, Sir WH Treacher, telah berkhidmat sebagai Residen British di Selangor dari 1892 hingga 1896.

Di puncak Bukit Kutu terdapat dataran yang menjadi 'kompleks' penempatan dan pentadbiran. Ketika zaman kolonial British, puncak Bukit Kutu adalah stesen pemantauan tentera British. Namun ia terbengkalai setelah dibom oleh tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Keseluruhan binaannya telah rosak dan runtuh serta ditumbuhi semak-samun dan pohon rimba. Kini, yang masih kekal hanyalah bahagian tiang, lantai, rangka bangunan dan tangga serta cerobong asap dan dua buah perigi lama yang salah satunya masih boleh digunakan dan masih terdapat sumber air di dalamnya.

Bukit Kutu kini menjadi lokasi pendakian yang semakin terkenal. Selain mencabar kekuatan fizikal dan minda, pendaki juga dapat melihat tinggalan sejarah itu.

Bukit Kutu wajar diperkenalkan sebagai pendakian bukit bersejarah.

Thursday 24 October 2019

Tindakan asingkan saf kanak-kanak

Kerap berlaku imam atau petugas masjid yang marah kepada kanak-kanak berbuat bising di masjid. Bahkan, kanak-kanak itu 'diusir' daripada bersembahyang bersama-sama dengan orang dewasa. Mereka diasingkan di saf belakang atau hanya dibenarkan berada di bahagian belakang ruang solat.

Hal itu terjadi kerana kanak-kanak dilayan 'kejam' berdasarkan kepada pendapat yang mengatakan kanak-kanak yang belum baligh atau belum bersunat tidak dibenarkan berada di saf orang dewasa.

Antara hujah yang digunakan juga ialah kanak-kanak itu menaggung najis yang sekiranya bersolat bersama di dalam satu saf maka akan batallah solat orang dewasa yang bersentuhan dengannya.  

Hujah ini tidak dibina di atas dalil al-Quran dan sunnah. Bahkan Nabi SAW mendukung cucunya ketika solat.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: “Hadis menunjukkan bersihnya pakaian kanak-kanak, sekiranya dihukumkan najis sudah tentu Nabi tidak mendukungnya, begitu juga yang dinaskan (disebut) oleh Imam Syafie dan selainnya.” 

Kanak-kanak yang diasingkan di belakang boleh menyebabkan mereka bermain-main dan berbuat bising dan perkara ini tidak terjadi jika kanak-kanak di dalam barisan orang dewasa di bawah pengawasan penjaganya.

Membawa kanak-kanak ke masjid dan diajar sembahyang bersama-sama dalam satu saf adalah cara mendidik mereka. Bukan dengan mengasingkan mereka. 

Ibu bapa yang membawa anak ke masjid dalam rangka mendidik adalah terbaik namun dinasihatkan juga supaya mengawal anak-anak agar tidak menganggu jemaah yang sedang bersolat dan beribadah.

Syaikh Ibnu Utsaimin di dalam Fatawa Islamiyah 2/8 ada melarang ibu bapa dari membawa anak-anak jika menganggu jemaah yang sedang menunaikan kewajipan bersolat. Sebaik-baiknya bawalah anak-anak yang berusia tujuh tahun ke masjid sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: “Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia 7 tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad, 11/369, no. 6756. Dinilai hasan oleh an-Nawawi, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth)

Tiada larangan mutlak membawa anak di bawah umur 7 tahun cuma perlu dipastikan mereka dijaga dan tidak menganggu jemaah melakukan ibadah.

Cara terbaik untuk mendisplin dan mendidik kanak-kanak bersembahyang adalah berada bersama-sama bapanya atau orang dewasa.

Saturday 19 October 2019

Cina Kelantan bantu promosi produk Muslim

Hubungan kaum antara Melayu dan Cina serta bangsa lain di Kelantan memang untuk dan cukup harmoni. Tiada sikap dengki atau menjatuhkan kaum lain. Malah, apa yang dilakukan adalah saling tolong menolong dan menghormati.

Mereka akan menolong atau membantu tanpa melihat kaum. Apa yang dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab untuk saling membantu, lebih-lebih lagi mereka tinggal satu kampung saling kenal mengenali.

Di sini ambo salin dan tampal satu posting yang dibuat oleh seorang kaum Cina mempromosi roti canai segera yang dihasilkan oleh seorang pengusaha Melayu.

Ini catatan yang dimaksudkan:

KALU NOK MAKE ROTI CANAI SEGERA BERSAMA KELUARGA, KELIH JENAMA NI, BELILAH TANPA RAGU-RAGU.

BARE SEDAP TAPI YANG GERENTINYO,KEBERSIHAN NO 1. AMO GI KELIH SENDIRI DENGAN 4 MATO KAWE. ORE BIASA 2 MATA JAH TAPI KAWE 4 SEKALI NGAN SPEK.

Betapa indahnya jika suasana ini dapat dilihat diamalkan di seluruh negara oleh semua rakyat.

Wednesday 16 October 2019

Bagaimana cara guru melakukan kerja dakwah

Proses melakukan kerja-kerja dakwah bukan perkara mudah biarpun menjadi tanggungjawab semua orang. Terdapat pendekatan dakwah yang berkesan perlu dipelajari dan diamalkan dalam melaksanakan tugasan dakwah.    

Sesungguhnya tugas penting ini tidak terlepas daripada menghadapi cabaran, tambah lagi dalam situasi sekarang yang mana dunia tanpa sempadan serta usaha pihak-pihak tertentu yang ingin menghancurkan Islam melalui serangan pemikiran. Pendidik berperanan mendidik pelajar berdepan cabaran tersebut.     

Dalam semua keadaan, kita tidak terlepas menghadapi cabaran. Namun, tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Apa yang penting ialah usaha dengan pendekatan yang susuai untuk mengatasinya.

Dakwah tidak hanya disampai melalui ucapan atau kata-kata. Dakwah juga boleh disampaikan melalui tulisan, perbuatan dan contoh. Justeru, guru mempunyai pelbagai cara untuk melaksanakan dakwah bukan saja kepada pelajar, bahkan kepada masyarakat umum. Terdapat beberapa kaedah boleh dilakukan oleh guru untuk melaksanakan dakwah iaitu,

Sedia diketahui, tugas utama guru ialah mengajar matapelajaran di bilik darjah. Setiap guru ada matapelajran khusus dan pilihan yang dipertanggungjawabkan mengajar pelajar.

Bagi guru yang mengajar matapelajaran berkaitan ibadah dan pengetahuan Islam, tugas dakwah tidak sukar dilaksanakan. Ia sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab dan sukatan pelajaran yang ditetapkan. 

Dalam kontes ini, guru berkenaan perlu melaksanakan dengan penuh dedikasi bukan saja bertujuan untuk pelajar lulus peperiksaan, tetapi tidak kurang pentingnya ialah untuk dijadikan amalan kehidupan seharian. 

Sesungguhnya setiap ilmu yang dipelajari adalah untuk diamalkan. Ilmu yang dipelajari tetapi tidak diamalkan tidak memberi manfaat umpama seperti pokok yang subur tetapi tidak berbuah. 

Hari ini banyak pelajar berjaya mendapat keputusan cemerlang, tetapi bankrap moralnya. Kita gagal menghasilkan rakyat minda kelas pertama.

Bagi guru yang mengajar matapelajaran tiada kaitan dengan agama, mereka masih berpeluang melaksanakan dakwah. Sesungguhnya semua pengetahuan mempunyai kaitan dengan agama.

Contoh pelajaran sains juga mempunyai kaitan dengan agama kerana ia adalah ilmu yang berkaitan dengan apa yang dicipta oleh Allah. Dengan itu, guru sains perlu bijak bagaimana hendak kaitkan sains dengan dakwah. 

Antara yang boleh dikaitkan ialah kekuasaan Allah mencipta alam ini. Pelajar perlu berasa apa juga yang berlaku di sekeliling ini adalah kuasa Allah dan sekaligus meletakkan diri semakin hampir kepada-Nya.