Thursday, 24 April 2025

ANAK ORANG ASLI SUKU TEMIAR PEROLEH KEPUTUSAN 8A

 
Cita-cita, iltizam dan semangat yang tidak menyerah kalah menjadi teras kepada kejayaan Nur Syafienaz binti Nazri, memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
 
Kejayaan Syafienaz mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pelajar Orang Asli pertama di Kelantan yang mencapai keputusan cemerlang 8A. Dia dari Suku Temiar,  Kampung Merlong, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis, Gua Musang.
 
Kejayaan Syafienaz itu bukan diimpikan olehnya dan keluarga sahaja, bahkan telah dicanang dan menjadi harapan besar seluruh pentadbir dan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya, yang mengasah dan mengilap permata yang mula menyinar sejak awal berada di tigkatan empat lagi.
 
Semangatnya kental dan sentiasa memegang tinggi cita-cita ingin menjadi guru Bahasa Inggeris, tidak menjadi rahsia lagi di kalangan pentadbir dan guru-guru. Dia tidak malu untuk meletak cita-cita itu di tempat tinggi dan kongsikan dengan guru dan rakan-rakan.
 
Cita-cita yang dizahirkan secara terbuka itu turut menjadi semangat guru-guru dan pentadbir membantunya merealisasikan cita-cita itu.
 
Kejayaan Syafienaz membuktikan anak Orang Asli juga boleh berjaya dalam pendidikan jika rajin berusaha. Ia juga membuktikan satu keputusan tepat apabila kerajaan menyediakan sekolah khas untuk pelajar Orang Asli.
 
SMK Panggung Jaya adalah sekolah khas untuk pelajar Orang Asli Kelantan, dan ada juga pelajar kaum Melayu yang tinggal berhampiran sekolah yang terletak di Kampung Panggung Lalat, Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan.
 
Pembinaan sekolah yang menelan kos sehingga RM50 juta dapat menyelesaikan masalah penempatan pelajar Orang Asli dari kampung pedalaman. Sekolah "moden" itu setaraf dengan sekolah-sekolah yang baharu dibina di tempat-tempat lain. 
 
Sebelum ini anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman terpaksa dipecahkan kepada beberapa sekolah menengah lain iaitu SMK Tengku Indera Petra 1, SMK Tengku Indera Petra 2, SMK Seri Wangi, SMK Tengku Bendahara, SMK Bandar Chiku dan SMK Chiku 2. 
 
Pembinaan SMK Panggung Jaya adalah langkah penyelesaian kerajaan dalam memastikan anak-anak Orang Asli dapat memberikan tumpuan penuh kepada pelajaran tanpa memikirkan jarak jauh dari keluarga. 
 
Kebanyakan mereka tinggal di kampung sekitar Pos Tohoi, Poa Simpor, Pos Belatim, Pos Bihai, Pos Gob, Pos Brooke, Pos Hendrop, Pos Pasik, Pos Pulat, Pos Hau, Pos Blau dan Pos Kuala Betis. 
 
Kajayaan Syafienaz diharapkan menjadi contoh kepada pelajar Orang Asli yang masih mengalami kadar keciciran yang tinggi.

Gambar - Syafienaz menarima pelekat "semua A" daripada pengetua, Mohd Khairul Bhari bin Ismail

No comments:

Post a Comment