Salah satu dialek Kelantan yang semakin
jarang digunakan oleh gori ([go.ri] | ݢوري). Mengikut Kamus Dewan
Edisi Keempat, perkataan gori adalah dialek Kelantan yang bermaksud membeli
mula-mula sekali sebelum pembeli-pembeli lain.
Perkataan gori kerap digunakan oleh penjual untuk menyatakan bahawa pembeli itu
adalah orang yang pertama membeli pada hari berkenaan atau perniagaan yang baru
dibuka.
Pada kebiasaannya, peniaga
memberi harga lebih murah atau tidak berkira dengan pembeli yang ingin menawar
harga lebih murah atas dasar gori.
Bergori dianggap sebagai
pembuka rezeki. Jadi, soal untung tidak dipentingkan sangat. Maka dikatakan
penjual sanggup memberi harga lebih murah asalkan ada pemulaan rezeki pada hari
itu.
Manakala di sebelah pembeli
pula biasanya tiada akan menawar lebih-lebih apabila penjual mengatakan untuk
bergori pada hari itu. Pembeli berasa 'simpati' jika masih belum bergori
sedangkan perniagaan sudah dibuka lama pada hari itu.
Ada peniaga yang masih belum bergori pada hari itu sedangkan perniagaan akan
ditutup tidak lama lagi. Jadi, pembeli biasanya akan bergori agar
setidak-tidaknya ada sedikit hasil jualan yang dapat dibawa pulang oleh
peniaga.
Jadi, demi untuk gori atau
bergori, penjual dan pembeli akan saling bertolak ansur untuk mewujudkan
suasana menang menang. Penjual akan rasa bergembira bila ada orang bergori dan
pembeli pula berasa 'bangga' dan bergori membantu penjual membuka rezeki pada
hari itu.
Sesungguhnya, betapa malam
jika peniaga ada yang tidak bergori berniaga sepanjang hari. Itulah nasib
dialami sesetengah peniaga sekarang ini. Biarpun hari-hari berniaga, tetapi
tidak bergori. Makanya, setiap hari mereka tidak memperoleh sebarang hasil
jualan.
Mereka hanya peniaga kecil
yang mengharapkan sedikit rezeki untuk menyara kehidupan. Malangnya, kebanyakan
pembeli kini lebih suka membeli di pasar raya sehingga peniaga kecil di
pasar-pasar ketiadaan pelanggan dan tertutup punca rezeki mereka.
Jom pakat membantu peniaga
kecil. Berikan mereka keselesaan berniaga dan membeli barang keperluan daripada
mereka. Sama membantu memperkukuhkan ekonomi orang Islam.
No comments:
Post a Comment