Dalam sejarah Islam di Nusantara, kerajaan Islam di Aceh merupakan kerajaan yang paling agung yang pernah didirikan di rantau ini. Malah sejarah-sejarah tentang kerajaan Aceh lebih konsisten berbanding dengan sejarah Melaka.
Dengan sebab itu, jika kesimpulan yang dilakukan semata-mata merujuk kepada Sulalatus Salatin, ia masih boleh dipersoalkan. Malah catatan-catatan China tentang Melaka seperti Ming Shi dan Ming Shi Lu ternyata banyak berbeza dengan Sulalatus Salatin. Ini jelas sebagaimana yang dicatatkan oleh Liang Liji dalam bukunya yang bertajuk "Hubungan Empayar Melaka - Dinasti Ming Abad ke 15".
Seperti di Melaka, pemerintah dan rakyat Aceh ialah penganut mazhab akidah Ahli Sunnah Wal Jamah dan mazhab Syafie dalam fiqh. Rupa paras, budaya malah bahasa tidak banyak berbeza dengan orang Melaka.
Selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511, Aceh mengambil alih peranan Melaka sebagai pusat penyebaran Islam dan pusat perdagangan di Nusantara.
Malah Aceh adalah ancaman utama bagi Portugis di wilayah ini sehinggakan Aceh berani melancarkan jihad menyerang Potugis di Melaka. Jika kita mengkaji sejarah Aceh, zaman kegemilangan Aceh tercipta di bawah pemerintahan seorang sultan yang soleh iaitu Sultan Iskandar Muda (1607-1636).
Aceh pada masa itu mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk teknologi. Malah kerajaan Islam Uthmaniyah turut "berkongsi" teknologinya dengan kerajaan Aceh.
Sultan Iskandar Muda melaksanakan hukuman hudud dalam pemerintahannya. Prof Hamka di dalam bukunya bertajuk "Sejarah Umat Islam" turut menukilkan bahawa hukuman bagi kesalahan jenayah di Aceh berdasarkan hukum syarak. Hukuman hudud dilaksanakan oleh beliau termasuk ke atas anak kandungnya sendiri.
Di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda, kerabat diraja dan sultan sendiri tidak dikecualikan dengan hukuman. Walaupun tidak dinafikan, masih terdapat kelemahan dalam melaksanakan undang-undang Islam, tetapi kesungguhan Sultan Iskandar Muda harus dipuji.
Sultan Iskandar Muda sendiri telah menjatuhkan hukuman rejam ke atas putera tunggalnya iaitu Meurah Pupok kerana didapati berzina. Akibat dari itu, Aceh kehilangan pewaris takhta kesultanan.
Oleh itu, Sultan Iskandar Muda melantik anak angkatnya yang kemudian menjadi menantunya untuk mewarisi kerajaan Aceh. Sedangkan menantunya itu, iaitu Iskandar Thani adalah orang Pahang, bukan orang Aceh.
Kisah pelaksanaan hukum hudud ke atas putera Sultan Iskandar Muda ini dicatatkan oleh ramai sejarawan Aceh termasuk Ketua Majlis Ulama Aceh, Prof. Ali Hasyimi dalam bukunya "Iskandar Muda Meukuta Alam". Malah kisah ini turut tercatat di atas papan tanda di sisi makam Sultan Iskandar Muda.
No comments:
Post a Comment