Liga
Persatuan Palang Merah Antarabangsa (The International Committee Of The Red
Cross - ICRC) merupakan persatuan sukarela antarabangsa paling aktif di
dunia.
ICRC disertai Persatuan Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah dari 176 buah negara di seluruh dunia.
Untuk melaksanakan tugas kesukarelawan di seluruh dunia, ICRC yang beribu pejabat di Geneva, Switzerland menubuhkan pusat wilayah dan pusat operasi di 80 buah negara dengan jumlah kakitangan melebihi 15 ribu orang.
ICRC diasaskan oleh Jean-Henry Dunant, seorang peniaga berbangsa Switzerland. Beliau mendapat inspirasi menubuhkan persatuan ini setelah melihat kesengsaraan dan penderitaan dialami oleh tentera yang tercedera akibat peperangan yang pernah beliau lihat.
Pengalaman tersebut beliau lalui ketika bersama-sama dengan rombongan perniagannya melalui tempat bernama Solferino di utara Itali pada 24 Jun 1859.
Tempat tersebut bekas medan peperangan besar melibatkan lebih 300,000 orang tentera Austria dan Perancis yang bertempur secara berterusan selama 16 jam.
Dalam peperangan tersebut ramai tentera mati dan tercedera. Bilangan tentera tercedera dan meninggal dianggar berjumlah lebih 40,000 orang.
Namun, tentera yang mengalami kecederaan tidak mendapat rawatan sewajarnya. Mereka dibiarkan dalam keadaan tenat akibat terbiar, kehausan dan dipenuhi lalat.
Akibat itu, semakin ramai tentera meninggal akibat tidak mendapat rawatan. Wabak penyakit pula merebak dengan cepat dan terus mengacam beribu-ribu mangsa yang masih berada di situ. Bagi pihak atasan tentera menganggap perkara itu fenomena biasa setiap kali lepas sesuatu pertempuran.
Atas dasar kemanusiaan, Henry Dunant tidak meneruskan perjalanan perniagannya. Sebaliknya beliau dan rombongannya telah melakukan usaha memberi bantuan rawatan dan perkhidmatan sosial kepada mangsa peperangan. Bantuan tersebut diberikan tanpa mengira dari pihak mana tentera itu.
Usaha murni Henry itu turut mendapat bantuan dan sokongan penduduk setempat. Usaha tersebut berjaya menyelamatkan banyak nyawa tentera tercedera yang jika dibiarkan terus tanpa bantuan mungkin akan meninggal.
Setelah pulang ke Geneva, ibu negara Switzerland, beliau telah menulis sebuah buku berbentuk pengalaman sebenar bertajuk ‘A Memory of Solferino’ yang bermaksud Kenangan di Solferino.
Di dalam buku itu beliau menceritakan pengalaman apa yang dilihat dan dilakukan semasa di Solferino.
Antara yang dicatatkan ialah mengenai pentingnya terdapat pertubuhan tetap yang terdiri sukarelawan bagi membantu mangsa perang.
Kemudian selepas itu, Henry Dunant bersama-sama beberapa orang kawan telah mengambil usaha menghubungi ketua-ketua negara di Eropah supaya menghantar wakil peringkat negara ke Geneva untuk menghadiri satu pertemuan.
Tujuan utama pertemuan itu bagi merangka rancangan cadangan menubuhkan satu persatuan atau kumpulan bertujuan bagi memberi pertolongan kepada mereka yang cedera semasa peperangan tanpa mengira bangsa.
Berlanjutan usaha tersebut, pada 17 Febuari 1863, sebanyak 16 buah negera telah menghantar wakil ke perjumpaan tersebut yang dikenali The International Committee for Aid to Wounded Soldier (Pertubuhan Antarabangsa Untuk Membantu Tentera Cedera).
Pada peringkat awal perbincangan turut memberi penumpuan kepada apakah lambang yang sepatutnya digunakan sebagai pengenalan kepada individu atau kumpulan yang terlibat dalam memberi bantuan kepada tentera yang cedera. Lambang ini digunakan untuk pihak tentera dan awam.
Sebenarnya, sebelum itu Dr Lucien Baudens yang menyaksikan kes kepungan berterusan Sebastopal dalam sebuah rencana bertajuk “Revue des Deux Mondes” yang diterbitkan pada Febuari 1857, antara lain menceritakan tentang doktor dan pengusung yang ingin membantu orang yang cedera telah ditangkap dan ditembak.
Lalu, beliau mencadangkan agar satu lambang khusus digunakan oleh individu atau kumpulan yang terlibat dalam memberi bantuan untuk mudah dikenali.
Pada pertemuan tersebut para wakil telah menandatangni Kovensyen Geneva yang kemudiannya menjadi asas kepada penubuhan ICRC.
Tarikh 8 Mei dijadikan hari ulang tahun penubuhan ICRC.
Lambang palang dijadikan simbol pertubuhan tersebut. Simbol itu tidak ada kaitan dengan lambang mana-mana agama. Sebaliknya simbol itu diambil daripada lambang asal bendera Switzerland sebagai menghormati dan tanda kenangan usaha dilakukan oleh Henry Dunant, seorang rakyat Switzerland.
Bagaimana pun sebagai perbezaan lambang palang merah dengan bendera Switzerland, dibezakan dari segi warna.
Warna merah latar belakang bendera Switezerland dijadikan warna palang dan warna putih dijadikan warna latar belakang.
Lambang Bulan Sabit Merah digunakan di negara-negara Islam. Tetapi, dalam kes melaksanakan tugas antarabangsa, ahli-ahli Bulan Sabit Merah akan menggunakan lambang Palang Merah.
Lambang Palang Merah dan Bulan Sabit Merah diterima di seluruh dunia sebagai lambang pertolongan cemas. Lambang ini menjadi tanda pengharapan insan yang memerlukan pertolongan.
Pada awal penubuhannya ICRC hanya berperanan memberi pertolongan kepada mangsa peperangan. Ketika itu kebanyakan negara di Eropah sering berperang sesama sendiri untuk meluaskan jajahan takluk dan beberapa sebab lain.
Bagaimanapun, sesuai dengan perubahan masa, kini kegiatannya telah diperluaskan.
Aktivitinya kini termasuklah memberi pertolongan cemas dan perlindungan kepada yang memerlukannya seperti mangsa kemalangan, kebakaran, gempa bumi, banjir, kemarau dan sebagainya.
Dalam konflik tebusan, peperangan terbuka, perang saudara, pemberontakan dan dalam krisis yang dianggap “tidak ada lagi pihak yang boleh dipercayai”, satu-satunya pihak yang sentiasa diyakini mampu menjalankan tanggungjawab bantuan kecemasan dan sosial ialah wakil atau ahli ICRC.
Keyakinan ini diberikan oleh masyarakat dunia atas rekod perkhidmatan cemerlang ICRC. Seluruh ahli ICRC berpegang kepada prinsip kemanusiaan, berkecuali, bebas, sedunia, bersatu, saksama dan sukarela.
Persatuan Bulan Sabit Malaysia yang menjadi ahli ICRC sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 telah menyumbangkan khidmat bakti di seluruh dunia berkaitan krisis peperangan, bencana alam, tebusan perang dan perculikan, perang saudara dan pengurusan pelarian perang.
No comments:
Post a Comment