Tuesday, 28 January 2020

BEZA OTAK DENGAN AKAL

Organ penting dalam diri manusia ialah otak. Otak berada dalam dua bentuk yakni secara fizikal yang dinamakan otak dan secara rohani dipanggil minda, akal atau fikiran.

Otak dalam bentuk fizikal tidak ada bezanya dengan apa yang dimiliki oleh haiwan yang berperanan untuk mengkordinasikan fungsi organ badan dan tindakbalas spontan berdasarkan kebiasaan.

Bezanya otak manusia berbanding haiwan ialah pada akal. Melalui akal, manusia mampu menerima segala ilmu yang berbentuk teori serta mampu untuk menyusun idea-idea.

Akal dalam bentuk ini merupakan asas utama kepada fikiran manusia. Lantaran itu, akal yang bersifat positif jika digunakan untuk kebaikan akan menjadikan seseorang itu mulia dan berjaya dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan.

Sebaliknya, akal yang membawa manusia kepada keburukan akan meletakkan manusia lebih hina berbanding haiwan. Kesesatan manusia disebabkan mereka menggunakan akal diarahkan untuk tujuan negatif  yang menyebabkan mereka binasa dan hina.

Mereka berfikir bagaimana ingin melakukan perkara yang mendatangkan keburukan kepada diri sendiri dan orang lain. Biasanya, kesan buruk kepada diri sendiri dilakukan tanpa sedar atau kerana terpengaruh ajakan kawan sehingga tidak dapat melepaskan diri daripada perbuatan itu.

Walaupun manusia mempunyai akal dan sentiasa menggunakannya, sama ada dalam menjalani urusan kehidupan atau untuk mencari kebenaran, namun tidak semestinya hasil pemikiran mereka menepati tujuan sebenar serta mencapai matlamat yang dimaksudkan dan diinginkan.

Sebagai contoh, apabila melihat awan tebal yang hitam di langit, manusia memikirkan dan menjangkakan hujan akan turun tidak lama lagi. 

Namun, tanggapan akal semata-mata berdasarkan faktor awan hitam yang tebal tidak semestinya dapat menghasilkan keputusan yang benar dan tepat. Kadang-kadang hujan tidak turun walaupun pada kebiasaannya awan tebal yang menandakan atau menyebabkan hujan turun.

Maka, kita perlu memahami lojik itu berdasarkan kepada pengalaman lalu, mahupun berdasarkan kepada kajian sainstifik berkaitannya. Atas sebab itu, peribahasa kita ada menyebut, kalau mendengar guruh di langit, air di tempayang jangan dicurahkan. 

Nenek moyang kita menggunakan kiasan yang mendalam biarpun perkara lain ingin dinyatakan, tetapi apa yang dinyatakan itu ada kebenarannya kerana mereka pemerhati yang akrab dengan alam.

No comments:

Post a Comment