Thursday, 11 February 2021

CARI KEKAYAAN TUNTUTAN AGAMA

Untuk mendapat keselesaan hidup tidak boleh berserah kepada nasib dan tuah. Lantaran itu, kita perlu sanggup berkerja keras dan berusaha sedaya yang boleh mengikut aturannya untuk memperoleh apa yang diharapkan.   

Rezeki tidak datang bergolek, namun bukanlah sukar untuk mendapat keperluan hidup. Sesungguhnya semua kejadian alam ini telah dipermudahkan untuk dimanfaatkan oleh manusia.

Islam melarang umatnya yang mampu berkerja tetapi tidak berkerja kerana ini merugikan individu itu sendiri dan negara. Negara kerugian sumber tenaga manusia yang sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk memajukan negara.

Melakukan tugas mencari rezeki juga diganjari pahala. Ini bertepatan ajaran Islam yang menyuruh agar mencari sebanyak mana kemewahan hidup yang diingini. Tidak ada sekatan untuk Muslim mencari kekayaan, kemewahan, pangkat dan kedudukan yang diingini di dunia ini. 

Kehidupan manusia menjadi lebih sempurna dan selesa apabila memiliki kekayaan dan kedudukan yang baik. Itulah yang terkandung dalam ajaran Islam.   

Memang, di sisi Allah tidak memandang kekayaan sebagai ukuran kemuliaan seseorang. Tetapi, jika ada dua orang yang sama-sama beriman, maka Allah lebih menyukai orang beriman yang kaya berbanding orang beriman yang miskin. 

Banyak kebaikan dapat disumbangkan oleh orang beriman yang kaya untuk kebaikan saudara seagama dan kemajuan Islam keseluruhannya. 

Dalam Islam ada mekanisma sedekah dan zakat yang disumbangkan golongan kaya kepada golongan miskin. Manakala harta wakaf pula disumbangkan untuk kepentingan umum. 

Individu Muslim yang mampu bersedekah, berzakat dan berwakaf mendapat balasan pahala yang besar. Menunaikan zakat adalah salah satu Rukun Islam yang menjadi tonggak kesempurnaan keislaman seseorang.

Sebab itu golongan kaya lebih disukai Allah, dan sepatutnya setiap orang Islam berlumba-lumba hendak menjadi kaya. Golongan kaya yang soleh mendapat untung di dunia dan memperoleh pula kebaikan di akhirat. 

Mencari rezeki yang halal adalah satu jihad berjuang di jalan Allah. Pahala jihad amat besar dan rugilah sesiapa yang tidak merebut peluang melakukannya. Sedangkan, mencari rezeki adalah untuk kebaikan diri sendiri. 

Malangnya, terdapat individu yang memandang ‘jijik’ terhadap kemewahan dunia yang dianggap akan melalaikan diri daripada melaksanakan tugas beribadat kepada Allah. Lantaran itu dia tidak berusaha untuk mencari kekayaan, pangkat, penghormatan dan kesenangan di dunia ini.

Persepsi salah terhadap konsep kekayaan di dunia inilah mengundang kemunduran dan kerugian di kalangan umat Islam sejak sekian lama. Salah faham ini perlu diperbetulkan segera bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk. 

Ada pihak yang berhujah mengatakan bahawa kemunduran yang dialami adalah kerana agama Islam itu sendiri tidak sesuai lagi dengan perkembangan zaman. Syariah Islam dianggap tidak selari dengan proses kemodenan yang sedang berlangsung.

Pihak orientalis cuba mempengaruhi pemikiran orang Islam dengan mengatakan kejayaan penganut agama lain disebabkan berlakunya pengasingan antara agama dan keperluan hidup semasa seperti politik, eknomi dan sosial. Agama dianggap hanya sesuai untuk ritual atau kerohaniaan semata-mata. 

Sebagai Muslim, keyakinan mengenai syariah Islam yang sesuai sepanjang zaman perlu dibulatkan dan diperteguhkan. 

Soal kemunduran penganut Islam tidak berpunca kandungan ajaran yang tidak releven dengan peredaran zaman. Umat Islam lemah disebabkan gagal menterjemahkan ajaran Islam yang sebenar. 

No comments:

Post a Comment