Thursday, 11 February 2021

CARA BARAT KUASAI UMAT ISLAM

Penguasaan Barat terhadap umat Islam sekarang ini berkait rapat dengan kemunduran yang melingkari negara-negara Islam. Statistik menunjukkan lebih separuh negara Islam tergolong kategori mundur yang mengharapkan bantuan asing untuk memenuhi keperluan asas penduduknya.

Keadaan itu memberi peluang Barat mengeksplotasi sepenuhnya nasib umat Islam di negara itu. Semakin banyak bantuan dan penggantungan yang dipohon daripada negara bukan Islam, lebih banyak masalah yang menimpa umat Islam. 

Sekarang ini Barat dan sekutunya menggambarkan umat Islam sebagai pengemis dan pengganas yang layak dilayan seperti binatang. Lihatlah penyiksaan yang dilakukan terhadap umat Islam yang dituduh pengganas mencetuskan huru hara di serata dunia.  

Tahap penyiksaan dan layanan yang diberikan terhadap umat Islam lebih hina daripada apa dilakukan terhadap binatang. Umat Islam di seluruh dunia sekadar mampu membantah dengan menghantar surat bantahan kepada pihak berkenaan dan mengadakan demostrasi.

Kejadian buruk menimpa umat Islam kini hanya dapat dipulihkan sekiranya umat Islam bangkit mencipta kekayaan dan kekuatan. 

Agama Islam mempunyai rangka yang lengkap bagaimana membimbing manusia berasaskan pemikiran, ilmu, pendidikan, kemajuan dan nilai-nilai baik yang perlu diikuti untuk mencapai kejayaan.

Umat Islam perlu memahami Islam sebagaimana yang pernah dilakukan generasi lalu sehingga umat Islam mencapai kegemilangan. Konsep pembangunan dalam Islam amat jelas yang menumpukan kepada matlamat melaksanakan tugas khalifah di muka bumi. 

Setiap usaha yang dilakukan mengikut tuntutan syariat meletakkan diri seseorang sebagai khalifah sepertimana tujuan manusia diutuskan ke dunia. Tuntutan Islam memberi perhatian terhadap soal memakmurkan muka bumi ini dengan aktiviti yang mendatangkan kebaikan. 

Sesiapa yang memperoleh nikmat Allah hendaklah dia bersyukur. Kekayaan yang dimiliki itu perlulah digunakan dengan sebaiknya. Dalam hal ini, Islam tidak menegah seseorang daripada menunjukkan kekayaan yang dimiliki, tetapi bukan dengan niat menyombong dan bongkak diri.

Arahan ini untuk menjadi teladan agar individu lain juga berminat berusaha mendapatkan kekayaan untuk dirinya. Malah, menggunakan kekayaan yang dimiliki menimbulkan rasa kesyukuran. 

Selain itu, kekayaan yang digunakan mengelak daripada menjadi harta beku yang tidak memberi manfaat kepada sesiapa. Islam menegah membekukan harta. Harta perlu dibelanjakan atau dijadikan modal untuk menjana pertumbuhan ekonomi. 

Pencerahan kefahaman terhadap Islam perlu diteruskan agar nilai Islam tidak menjadi kelabu di kalangan penganut Islam sendiri. 

Yakinlah, Islam sebagai addin telah mengatur cara hidup yang sesuai untuk umatnya sepanjang zaman. Sesiapa yang mengikut apa yang tuntut dalam ajaran Islam, pasti hidupnya cemerlang di dunia dan akhirat.

Setiap Muslim tidak seharusnya merasakan satu beban mengaku sebagai Muslim. Pengakuan itu adalah satu tanggungjawab untuk berusaha berubah mempamerkan satu imej maju dan cemerlang sebagai pengenalan kepada Islam. 

No comments:

Post a Comment