Tuesday, 6 July 2021

BUAH BEREMBANG UMPAN PANCING IKAN PATIN

Pokok berembang (Sonneratia caseolaris) selalunya tumbuh di tepi sungai berhampiran laut yang ada pasang surut air masin. Selain dikenali dengan nama berembang, pokok ini juga dikenali dengan nama gedabus, pedada dan perepat. 

Pucuk muda berembang dimakan mentah atau dicelur dan boleh dicecah bersama sambal belacan, budu, cencaluk atau pencecah yang lain.

Buah berembang berbentuk bulat yang agak leper dan kulitnya licin. Buah mudanya pula boleh dibuat sambal dan dimakan bersama nasi. Buah mudanya berasa lemak-lemak masam.

Buah berembang rasanya masam ketika masih mudah dan bertukar masam manis apabila telah ranum. Buah berembang muda juga boleh dibuat sayur.

Buah berembang masak juga boleh dijadikan sirap dan jem dengan cara memasaknya. 

Pokok berembang mempunyai keistimewaan tersendiri kerana kini dijadikan produk pelancongan yang "ajaib" di Malaysia iaitu terdapat banyak kunang-kunang atau kelip-kelip datang pada malam hari untuk menghisap manisan bunga pokok berembang.

Sebab itu, pokok berembang di kawasan tumpuan kelip-kelip akan dijaga dan diurus dengan baik. Pokok berembang ditanam untuk menambah bilangannya bagi menjadi habitat kunang-kunang.

Buah berembang diminati ikan patin. Sebab itu, ada pemancing menggunakan buah berembang sebagai umpan.

Kebanyakan pemancing menggunakan buah berembang yang mengkal atau yang agak lembut untuk dijadikan umpan. Buah yang mengkal agak lembut dan berbau harum masam menarik minat ikan patin.

Terpulang pada pemancing hendak menggunakan teknik yang digemari untuk mengcangkuk umpan. Sama ada nak cakuk sebiji terus atau sebelah sahaja atau diricih lalu dicakuk seperti sate. 

Buah berembang yang sudah ranum lagi menarik minat ikan patin tetapi susah untuk dicakuk pada mata kail kerana mudah hancur dan terlerai daripada mata kail.

Ada pemancing membungkus buah berembang ranum dalam net atau jaring yang halus lalu dicakuk pada mata kail. Selain ikan patin, ikan lampam juga berminat dengan umpan buah berembang yang ranum.

No comments:

Post a Comment