Saturday 17 February 2024

NANGKA SEBABKAN ANGIN DALAM BADAN

 
Jangan makan buah nangka, sebab buah nangka berangin. Itu cakap-cakap yang biasa kita dengan. Hakikat sebenarnya ia adalah tidak benar atau sekadar mitos.
 
Sebenarnya, punca utama angin di dalam badan ialah masalah penghadaman, terutama melibatkan jenis makanan tertentu.
 
Kalau perut anda yang ada masalah menghadamkan buah nangka, maka mudahlah mendapat angin. Sedangkan, orang lain yang makan nangka tidak akan menghadapi masalah angin.
 
Jadi, tidak perlu dinasihatkan atau memberi amaran kepada orang lain tentang kemungkinan mendapat masalah angin jika makan nangka. Setiap orang ada masalah kesihatan masing-masing.
 
Di dalam buah nangka tidak ada angin. Angin adalah “gas” yang datangnya dari dalam usus orang yang ada masalah penghadaman makanan.
 
Pada hakikatnya, makanan itu tak bersalah dan tiada angin di dalamnya. Masalahnya ialah sistem penghadaman sesetengah orang yang tidak sempurna.
 
Bila makanan itu dihadamkan sehingga lumat, ia akan diserap dari dinding usus ke dalam darah. Jika makanan itu tidak dihadam, ia akan tinggal di dalam usus untuk dibawa keluar sebagai najis. Makanan yang tak habis hadam akan juga melalui proses penghadaman yang dibantu oleh bakteria yang hidup di dalam usus manusia.
 
Sebagai kesan sampingannya, bakteria itu mengeluarkan gas. Gas yang banyak boleh menyebabkan anda tidak selesa, perut kembung, sendawa dan terkentut-kentut.
 
Ada banyak jenis bakteria yang hidup dalam usus manusia. Ada bakteria yang membuat lebih banyak gas, ada bakteria yang membantu menukar gas semula ke bahan lain. Jika anda tidak ada keseimbangan bakteria di dalam usus, maka anda ada lebih kecenderungan mendapat gas berbanding orang lain yang makan jenis makanan yang sama.
 
Jika anda juga ada usus yang tidak cergas dan lambat membawa makanan yang tak habis hadam keluar sebagai najis, terutamanya jika anda membiarkan diri mendapat sembelit, maka ini juga memberi lebih masa untuk bakteria dalam usus itu bertindak ke atas makanan yang tak habis hadam itu, dan lebih lagi lah pengeluaran gas, dan banyaklah lagi kentut anda.
 
Apa yang boleh merangsangkan dan mempercepatkan pergerakan usus anda ialah kecergasan diri dan bersenam. Ini boleh mengurangkan masalah sembelit dan gas di dalam usus.

No comments:

Post a Comment