Thursday 30 November 2023

ISLAMOFOBIA CETUSKAN ANCAMAN TERHADAP UMAT ISLAM

Islamofobia merupakan rasisme bentuk baharu yang dilihat sebagai ancaman yang terus dihadapi Islam dan umatnya di serata pelosok dunia. Banyak pihak membuat kesimpulan sedemikian dan Islamofobia yang ‘menakutkan’ Barat, menyebabkan umat Islam dipandang serong dan menjadi mangsa diskriminasi.
 
Jika dilihat dari segi sejarah, istilah Islamofobia telah mula digunakan di Perancis oleh Etienne Dinet dan Slima Ben Ibrahim pada 1925 dalam bukunya “Acces De Delire Islamophobe”.
 
Namun istilah Islamofobia ini tidak popular dan tidak menjadi isu pada masa itu. Di Amerika, istilah Islamofobia telah mula digunakan pada 1991 melalui satu artikel di dalam majalah ‘Insight’, namun masyarakat tidak ambil peduli dan tidak memberikan apa-apa reaksi terhadapnya.
 
 Istilah Islamofobia menjadi semakin popular dan mencapai kemuncak penggunaannya selepas 11 September 2001 apabila Menara Pusat Perdagangan Dunia di New York runtuh akibat serangan pangganas al-Qaeda. Peristiwa ini telah menjadi pencetus utama kepada fenomena Islamofobia diikuti dengan pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 dan pengeboman di London pada 7 Julai 2005.
 
Berdasarkan latar belakang penggunaan istilah Islamophobia, kita dapat melihat bahawa ia mempunyai kaitan langsung dengan keganasan atau terrorisme yang melibatkan kumpulan radikal Islam. Dengan perkataan yang mudah Islamophobia dan radikal Islam saling kait-mengait antara satu sama lain.
 
Tidak dinafikan bahawa terdapat kumpulan radikal Islam seperti ISIS dan al-Qaeda yang sanggup membunuh sesiapa sahaja termasuk wanita dan kanak-kanak tidak berdosa atas nama agama. Mereka bukan sahaja melakukan keganasan terhadap orang yang berbeza agama dengan mereka, tetapi juga orang Islam yang tidak sependapat dengan mereka dalam hal agama.
 
Mereka dikenali sebagai golongan yang tidak toleran dan berkehendak memaksakan tafsiran agama yang dipegang oleh mereka ke atas orang lain. Bagi mereka tafsiran agama yang berbeza dengan mereka adalah salah dan perlu dihapuskan.
 
Walaupun kumpulan ini sangat kecil dan tidak mewakili umat Islam seluruhnya namun ia telah membentuk persepsi negatif dalam bentuk diskriminasi pelbagai yang dimotivasikan oleh ketakutan dan kebimbangan terhadap Islam atau umat Islam.
 
Ramai yang mula tertanya-tanya adakah Islam yang patut dipersalahkan sebagai gerakan yang mencetuskan keganasan.
 
Pihak musuh Islam akan mengambil kesempatan untuk melakukan serangan pemikiran terhadap umat Islam dengan mengaitkan Islam dengan keganasan. Melihat kepada situasi semasa, umat Islam sukar untuk mempertahankan serangan tersebut kerana ia dilihat seperti benar.
 
Gerakan serangan pemikiran mudah dilakukan dengan perkembangan teknologi maya sekarang.
 
Bagaimanapun, kesimpulan oleh para penulis berwibawa tentang Islam dan sejarah umatnya tidak menyalahkan ajaran agama sebagai pencetus konflik, sekali gus telah membantu meredakan sedikit Islamofobia.
 
Selain budaya positif, cara hidup aman damai yang menyumbang kepada kehidupan dunia secara harmoni, dunia juga melihat subbudaya sebahagian kecil umat Islam yang mempunyai ciri agresif terlalu konservatif dan cenderung mencetuskan keganasan.
 
Untuk memastikan Islam dan umatnya tidak terus tergugat terutama dalam melaksanakan tuntutan akidah dan syariah, kedua-duanya perlu dipisahkan daripada pelbagai isu geopolitik masyarakat Islam, sekali gus kesannya dapat meminimumkan Islamofobia.
 
 

No comments:

Post a Comment