Banyak perkara yang diasaskan atau
kembangkan dalam tamadun Islam, terutama ketika di Cardova dan Baghdad telah
diambil oleh tamadun Barat, termasuklah dalam Konvensyen Geneva yang terkenal
kini dalam menguruskan krisis antarabangsa. Hakikatnya mereka mengambil daripada
tamadun Islam yang menegaskan agar berperikemanusiaan dalam menghadapi sebarang
krisis.
King Charles III yang baru sahaja dilantik
menjadi raja Britain, pernah menegaskan sepatutnya dunia Barat berterima kasih
kepada Islam yang memberikan sumbangan kepada tamadun Barat.
Banyak hasil karya ilmuwan Islam yang
dicuri dan disimpan di England, Belanda, Perancis dan lain-lain telah
mempengaruhi tamadun Barat yang tidak bertamadun sebelumnya. Termasuklah
terhadap sistem politik dan kehakiman, bukan sahaja dari segi sains dan
teknologi.
Tamadun Islam ialah tamadun pertama yang
memperkenalkan konsep bank simpanan dan perniagaan, penggunaan cek, pembinaan
hospital, rumah tumpangan (hotel), sistem bekalan air bersih dan sebagainya.
Perkara ini termasuklah juga peranan rakyat dalam politik sebelum munculnya
demokrasi Barat, apabila Islam terlebih dahulu memperkenalkan konsep pemisahan
kuasa kehakiman dengan kuasa politik serta pentadbiran dan lain-lain.
Pesatnya tamadun Barat kini sehinggakan
melampaui batas telah meruntuhkan kehidupan manusia dan alam sekitar kerana
mereka mengambil tamadun Islam secara tidak beramanah dan tidak sempurna. Hal
ini disebabkan mereka tidak beriman dan tidak berakhlak, setelah dipisahkan
agama daripada kehidupannya, walau pada asalnya elemen tersebut terkandung
dalam tamadun Islam.
Akan tetapi, Barat yang mencurinya telah
membuang peranan agama dan akhlak, sehingga berpisah juga daripada urusan sains
dan teknologi. Sehinggakan, ia turut merosakkan diri manusia dan alam
sekitarnya, khususnya cuaca dunia yang disaksikan kini.
Al-Quran telah memberikan suatu peringatan tentang
kerosakan yang dilakukan oleh manusia melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Telah
nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia,
supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan
mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum, ayat 41)
Khalifah Umar bin al-Khattab pernah berucap
kepada bangsa Arab pada zamannya: “Kita
ialah kaum yang diberikan kemuliaan dan keperkasaan oleh Allah dengan Islam.
Sekiranya kita mencari kemuliaan selain Islam (dengan meninggalkan Islam),
nescaya kita akan dihina oleh Allah.” (Al-Hakim, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain,
jilid. 1, halaman 61)
Apa yang diucapkan oleh Khalifah Umar itu
mentafsirkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu berpaling
(menegakkan Islam), nescaya Dia akan menggantikan (kalian) dengan kaum yang
lain; dan mereka tidak akan (menyerupai) seperti kamu ini.” (Surah Muhammad,
ayat 38)
Kehebatan bangsa Arab itu dapat dilihat
apabila mereka berpegang dan beramal dengan Islam yang sempurna, bukan terletak
pada pedangnya. Begitu juga dengan orang Melayu yang pernah bertamadun,
kehebatan mereka bukan terletak pada kerisnya, tetapi ketika mereka berpegang
dan beramal dengan Islam.
No comments:
Post a Comment