Banyak orang mengaku beriman, tetapi
memperlihatkan sifat kufur. Sebenarnya, iman tidak hanya pada pada mulut,
tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan dan amalan yang berpaksikan kepada
ketakwaan. Orang bersikap kufur daripada golongan
munafik mengaku beriman hanya sebagai pemanis mulut. Hakikat nyata sebenarnya
mereka tidak beriman dengan bersungguh-sungguh.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang
yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang yang berkata
dengan mulutnya: Kami tetap beriman, padahal hatinya tidak beriman."
(Surah al-Maidah, ayat 41)
Rasulullah SAW diutuskan dengan membawa
segala bentuk kebaikan untuk umatnya, berita gembira kepada orang mukmin,
amaran bagi orang kafir. Rasulullah SAW tidak dituntut melainkan untuk
menyampaikan risalah manakala hidayah itu adalah kurniaan dan pilihan Allah
SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Kalau Kami mahu, tentulah Kami akan turunkan kepada mereka satu mukjizat
dari langit, yang menjadikan mereka tunduk kepadanya." (Surah as-Syu'ara,
ayat 4)
Orang munafik keimanan mereka hanya di
bibir sahaja. Demikian juga orang Yahudi, suka mendengar berita dusta dan
palsu. Mereka suka mendengar perkataan pendeta Yahudi yang sering berbuat dusta
terhadap Allah SWT.
Nabi Nuh telah berdakwah kepada kaumnya,
isteri dan anaknya selama 950 tahun, namun hanya sedikit yang beriman kepada
Allah SWT. Ini bukanlah petanda Nabi Nuh gagal, tetapi bukti tidak ada yang
dapat memberikan hidayah kecuali dengan izin Allah SWT.
Apabila jiwa seseorang sering berkecimpung
dalam perkara kebatilan, pembohongan dan kejahatan, suka menderhaka dan
melakukan perbuatan merugikan, maka kesesatannya menjadi perwatakan. Hatinya
tidak lagi mempunyai sebarang kemanisan untuk menerima kebenaran. Akibatnya,
mereka tidak lagi dapat menerima keterangan yang benar.
Al-Quran memberi manfaat kepada orang yang
mempunyai hati yang hidup, mengetahui kebaikan di sebalik petunjuk,
bimbingan-Nya serta mengikut bimbingan dan petunjuk itu.
Mereka ini umpama manusia yang apabila
muncul kilatan cahaya kebenaran di hadapan, mereka akan segera menangkapnya
sehingga hati dan sanubari dipenuhi cahaya kebenaran itu. Itulah orang yang
dianugerahkan Allah SWT taufik dan hidayah, yang bakal memperoleh kemenangan
serta kebahagiaan
No comments:
Post a Comment