Sunday 4 April 2021

ROH KEMBALI KE DUNIA PADA BULAN RAMADAN

Tular di media sosial kononnya ada roh kembali ke dunia pada bulan Ramadan sehinggalah tiba Aidilfitri. Roh yang dibenarkan kembali adalah roh di kalangan mereka yang mempunyai amalan baik dan sentiasa mendapat doa daripada mereka yang masih hidup. Manakala roh semasa hidupnya melakukan dosa tidak dibenarkan pulang semula.

Entah dari mana hal tersebut mula tersebar. Hakikatnya, tidak ada satupun ayat al-Quran mahupun hadis yang menyatakan perkara itu, iaitu roh akan kembali pada bulan Ramadan.

Dr. Zaharuddin Abdul Rahman menerangkan: “Apabila roh sudah berpisah dari tubuh, ia berada di alam yang dinamakan barzakh, dan ia tidak akan mampu sama sekali untuk kembali ke alam dunia semula sama ada dalam keadaan baik atau buruk.

Dakwaan roh pulang kembali ke rumahnya setelah hari-hari tertentu adalah tidak benar. Tidak kiralah sama ada roh itu dalam keadaan baik atau buruk.

Manakala jika benar kelihatan mahkluk seperti si mati dan kendengaran suara-suara menangis, maka pandangan ulama adalah ia hanyalah angkara jin dan syaitan yang menyerupai si mati dan gangguan mereka, tidak lebih dari itu.

Firman Allah bermaksud: "Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka (orang kafir) dia berkata: " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong). Dan di hadapan mereka ada dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan" (Surah Al-Mu'minuun, ayat 99-100).

Imam Mujahid (anak murid Ibn Abbas) dan Ibn Zaid berkata tentang ayat ini: "Barzakh adalah seperti satu tembok yang menghalang orang yang mati kembali ke dunia."

Firman Allah bermaksud: "Allah SWT memegang jiwa (roh) ketika matinya (seseorang) dan memegang jiwa (roh) orang yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan." (Surah Az-Zumar, ayat 42).

Melalui ayat ini, jelas bahawa roh berada di dalam pegangan Allah SWT dan Allah tidak membenarkan roh untuk kembali ke dunia, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat sebelum ini,

Terdapat juga ulama berpandangan bahawa roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang hidup ketika mereka sedang tidur (melalui mimpi). (Ar-Ruh, Ibn Qayyim, ms 20).

Bagaimanapun, tiada yang berpandangan roh tersebut boleh bertemu dengan orang hidup semasa sedar mereka. Semua roh yang telah diambil Allah SWT akan sibuk dengan urusan mereka sama ada baik atau buruk.

Prof Ahmed Azzedine Al-Bayanuny dan Prof. Mohamed Hussin pernah menegaskan bahawa dakwaan orang-orang Kristian yang boleh bertemu dengan roh si mati dengan teknik jampian kahs adalah penipuan yang menggunakan jin dan syaitan. Ia bukannya roh yang sebenar. (Rujuk Al-Iman Bil Malaika dan Al-Ruhiya al-Haditha)

Sayyid Qutb berkata: Apabila mereka bertanya Rasulullah SAW mengenai roh, maka Allah memerintahnya supaya memberi jawapan kepada mereka bahawa roh itu adalah urusan Allah. Hanya ilmu Allah sahaja yang mengetahuinya dan tiada sesiapa pun yang mengetahui selain Allah. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 10/261)

Firman Allah SWT: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Surah al-Isra’, ayat 85)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di di dalam tafsirnya, Taysir al-Karim al-Rahman berkata: “Ayat ini menunjukkan tentang kelemahan manusia iaitu dalam sesetengah perkara mereka tidak mampu untuk mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan itu, Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar menjawab persoalan mengenai roh ini dengan menyerahkan urusannya kepada Allah.”

Firman Allah lagi: “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)." (Surah al-Zumar, ayat 42)

Ayat di atas juga menjadi dalil yang menunjukkan bahawa roh orang yang mati tidak akan kembali, bahkan Allah yang berkuasa menahannya dari kembali ke dunia.

Ini sepertimana riwayat daripada Said bin Jubair (anak murid kepada Ibn Abbas) yang mana mengatakan bahawa telah dikumpulkan di antara roh-roh orang yang hidup dan yang telah mati (di dalam mimpi) kemudian Allah menahan roh orang yang telah mati dan melepaskan roh orang yang hidup kepada jasadnya semula. Ianya juga adalah pendapat Ibn Zaid Rahimahullah. (Lihat Tafsir al-Tabari, 21/298-299)

Ada dua pendapat ahli tafsir tentang ayat ini. Salah satunya, bahawa roh orang yang ditahan adalah roh orang yang sudah meninggal, sehingga dia tidak mungkin kembali kepada jasadnya di dunia. Sedangkan roh orang yang dilepas adalah roh orang yang tidur. (Lihat al-Ruh oleh Ibn al-Qayyim, hlm. 31).

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas, beliau menjelaskan tafsir ayat tersebut dengan katanya: “Sesungguhnya roh orang yang hidup dan roh orang mati bertemu dalam mimpi. Mereka saling mengenal sesuai yang Allah kehendaki. Ketika masing-masing hendak kembali ke jasadnya, Allah menahan roh orang yang sudah mati di sisi-Nya, dan Allah melepaskan roh orang yang masih hidup ke jasadnya. (Lihat Jami' al-Bayan fi Ta'wil al-Qur'an, 21/298; al-Jami' li Ahkam al-Quran, 15/260; Madarik al-Tanzil wa Haqa'iq al-Ta'wil, 4/56 dan Zad al-Masir oleh Ibn al-Jauzi 4/20)

Said bin Jubair Rahimahullah pula berkata: “Sesungguhnya Allah menahan roh-roh orang mati apabila mereka mati dan roh-roh orang hidup apabila mereka tidur. Mereka akan bertemu dan berkenalan mengikut kehendak Allah. (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 15/260)

Jelas menunjukkan pada kita bahawa roh tidak akan kembali selepas kematian.

 

No comments:

Post a Comment