Monday 23 August 2021

IKLAN MAMPU PENGARUHI PSIKOLOGI

Peraturan pengiklanan yang diamalkan di negara ini memberi kebebasan kepada pengiklan untuk menampilkan apa-apa sahaja bentuk iklan asalkan tidak menyalahi kod pengiklanan yang ditetapkan oleh kerajaan yang meliputi nilai budaya, keagamaan dan sensitiviti masyarakat.

Seperti mana ia menarik minat orang ramai melihatnya, iklan juga mudah mengundang perasaan sensitif orang ramai. 

Iklan bukan sahaja mampu menarik orang ramai tentang produk yang diiklankan, tetapi lebih daripada itu.

Sebenarnya iklan bukan sahaja dinilai dalam aspek komersial, tetapi juga mampu mempengaruhi psikologi, normal kehidupan, dan pengajaran kepada penonton.

Perhatikan daya kreativiti tenaga agensi pengiklanan menyediakan iklan yang mampu menyebabkan penonton terkejut, tertanya-tanya, seronok, sayu dan sebagainya apabila ia disiarkan di kaca televisyen.

Namun begitu, satu aspek paling penting yang perlu diingat oleh orang ramai ialah jangan mudah tertipu dengan iklan.

Hal ini bukan bermaksud iklan sengaja membuat penipuan, tetapi iklan pada hakikatnya sering membuat kita tertipu dan tersilap membuat pilihan.

Sememangnya semua jenis iklan akan menunjukkan sesuatu yang hebat dan menarik. Itu satu ciri yang tidak terkecuali bagi semua iklan.

Disebabkan terlalu asyik dengan iklan yang menarik, ramai terdorong membeli atau melanggan sesuatu yang sebenarnya tidak diperlukan.

Kerana itu, aspek paling penting sebelum membuat keputusan membeli ialah apakah keperluan atau kepentingan membeli barang yang yang ditawarkan itu. Keputusan itu mestilah bebas daripada pengaruh iklan.

Pengguna sepatutnya menggunakan iklan sebagai membuat pilihan mana yang lebih baik dan sesuai dibeli, bukannya menentukan apa yang perlu dibeli. 

Oleh sebab itu pengguna boleh membuat pilihan tanpa mudah terpengaruh dengan iklan yang hebat. Teliti dan periksa dahulu kebenarannya. Sesuatu yang diiklankan mungkin hanya gimik dan sesuatu yang dilebih-lebihkan.

Tindakan ini perlu dilakukan terutama jika ingin membeli barang yang mahal. Biar kita lebih cerewet membuat pilihan asalkan kita mendapat pilihan terbaik.

No comments:

Post a Comment