Bubur asyura atau dalam dialek Kelantan dipanggil suro atau sura dimasak pada 10 Muharam atau hari-hari lain pada bulan Muharam. Tradisi membuat suro memang meriah pada masa dahulu. Bahan-bahan membuat suro disumbangkan oleh penduduk. Ia dimasak secara gotong royong untuk diagih-agihkan pada penduduk.
Suasana ketika mengacau suro memang meriah.
Suasananya seakan sama ketika kenduri kahwin. Masing-masing sibuk dengan tugas
dan tanggungjawab masing-masing.
Proses memasak suro awal pagi. Ada yang
sudah dimulakan sesudah sembahyang Subuh. Bermula dengan menghidupkan api menggunakan
kayu, memanaskan air dan masukkan beras. Pada peringkat awal, proses mengacau
tidak perlu dilakukan lagi. Jadi, ketika itu masih belum banyak orang
diperlukan untuk membantu.
Biasanya penduduk kampung akan mula datang
beramai-ramai sekitar pukul 10 pagi. Proses mengacau ketika itu sudah bermula.
Beras mula kembang. Bahan-bahan lain pun sudah dimasukkan bersama dalam kawah.
Jadi, perlulah dikacau untuk ia panas sekata dan mengelak bahagian bawah
menjadi hangit atau berkerak.
Pengacau diperbuat daripada batang buluh
atau batang kayu yang panjangnya sehingga tiga meter dengan bahagian bawah
diletakkan ‘mata’ diperbuat kepingan besi yang berukuran kira-kira 5 sentimeter
lebar dan 6 hingga 8 sentimeter panjang. Mata itu penting bagi memastikan
semasa proses mengacau nanti dapat mengelak terbentuk lapisan kerak di dasar
kawah nanti.
Pada peringkat awal biasanya hanya
diperlukan seorang pengacau sahaja kerana ramuan belum likat atau pekat. Air
sentiasa ditambah bagi memastikan bahan-bahan betul-betul hancur. Pada
peringkat awal santan dan awas atau rempah belum dimasukkan lagi ke dalam
kawah.
Proses awal adalah untuk menghancurkan sepenuhnya
bahan-bahan asas seperti beras, keledek ubi, badak, daging, jagung, kacang
hijau dan bahan-bahan lain lembut dan hancur sepenuhnya.
Air ditambah beberapa kali sehinggalah
bahan-bahan itu hancur sepenuhnya. Sebab itu proses membuat suro mengambil masa
yang lama, sekitar 6 hingga 8 jam.
Kemudian baharu bahan-bahan lain seperti
gula, santan, rempah dan bahan-bahan yang telah hancur atau berbentuk cecair
dimasukkan ke dalam kawah.
Apabila adunan semakin likat atau kandungan
air semakin kurang, proses mengacau perlu dlakukan secara lebih pantas dan
memerlukan dua orang mengacau serentak bagi memastikan suro tidak hangit dan
masak sekata.
Ketika itu suro sebenarnya telah masak.
Sudah boleh diangkat untuk dimakan. Sebab itu, sudah ada yang mencedok sebagai
sebahagian proses ‘merasa’ atau ‘mengecap’.
Masa inilah juga kanak-kanak sudah mudah
menhurung kawasan tepi kawah. Siap dengan bekas masing-masing. Paling banyak
mereka membawa tempurung kelapa sebagai ganti pinggang. Tempurung kelapa yang
dibelah dua akan dikikis di bahagain dalam untuk membuang sisi isi kelapa yang
masih melekat agar bersih dan sekata.
Ia dibersihkan dan diletakkan daun pisang
sebagai alas sebelum dimasukkan suro panas. Kalau tidak diletakkan daun pisang
pun boleh kerana tempurung itu telah bersih. Tetapi, daun pisang biasanya
digunakan bagi mendapat aroma daun pisang.
Pada masa dulu pemilihan tempurung
digunakan bukan kerana tiada pinggan, tetapi lebih bersifat kreatif terutama di
kalangan kanak-kanak untuk menadah suro baharu masak yang masih panas. Mereka
mengambil belahan tempurung yang mana isi kelapa digunakan untuk santan memasak
sura.
Tempurung tidak panas biarpun dimasukkan
suro panas yang baharu diangkat. Budak-budak gembira apabila mendapat
setempurung suro untuk setiap orang.
Untuk makan suro yang masih panas dan
lembik, mereka tidak menggunakan sudu besi, sebaliknya menggunakan daun atau
pelepah nanas sebagai sudu. Memang kreatif dan mesra alam. Itu satu kenangan
menarik golongan dahulu setiap kali tiba musim suro.
Selain tempurung, satu lagi bekas yang digunakan
untuk menadah suro ialah batang pisang yang dipotong dan dileraikan atau
dikopek menjadi seperti perahu. Suro diletakkan di tengah-tengah dan tidak akan
mengalir tumpah disebabkan sura biasanya pekat likat yang tidak mengalir.
Itulah tradisi masyarakat dulu yang keatif
menggunakan apa saja unsur alam yang ada di sekeliling. Penggunaan unsur alam
digunakan sepenuhnya dan tentunya menjimatkan.
Suro yang telah ‘masak’ ditentukan apabila
ia telah likat dan pekat seperti sudah tiada lagi kandungan air. Ia biasanya
diletakkan di dalam neka atau boko yang dialaskan dengan daun pisang untuk
mengelak ia melekat. Ketebalan suro yang diletakkan di dalam neka lebih kurang 5
centimeter.
Memandangkan suro telah likat, jadi ia
mudah mengeras apabila sejuk. Suro itu kemudian akan dipotong mengikut ukuran tertentu.
Biasanya sekitar 10 x 10 centimeter setiap satu. Ia kemudian akan diagih-agihkan
kepada penduduk kampung, terutama yang tidak sempat hadir di majlis tersebut.
Sumber gambar: Internet
No comments:
Post a Comment