Ilmu adalah satu keperluan untuk manusia mencapai kebaikan dan kesejahteraan di dunia mahupun di akhirat. Betapa pentingnya menuntut ilmu apabila diwajibkan kepada setiap kaum mukmin. Sabda Nabi SAW: “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap kaum muslimin” (Hadis riwayat Ibnu Majah).
Kepentingan menuntut ilmu juga jelas satu
keperluan apabila dijelaskan bahawa perlu ada orang pergi menuntut ilmu, di
samping sebahagian yang lain pergi ke medan perang. Pergi berjuang ke medan perang satu jihad
yang besar. Begitu jugalah pergi atau berusaha menuntut ilmu.
Firmann Allah SWT yang bermaksud: “Tidak
sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak
pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam
pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya
apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya
” (Surah al-Taubah ayat 122)
Para ulama telah mengarang banyak kitab
mengenai adab menuntut ilmu misalnya kitab Ta’lim al-Muta’alim karangan al-Imam
al-Zarnuji rahimahullah yang banyak diajarkan di pondok-pondok, pesantren dan
masjid-masjid di nusantara.
Di dalam kitab ini banyak menyebutkan
tentang adab-adab ketika menuntut ilmu yang perlu diamalkan dan diraikan
sebagai seorang penuntut ilmu seperti adab bersama guru, adab bersama ilmu,
adab bersama kitab, dan lain-lain lagi.
Namun begitu, adab yang paling utama perlu
ditekankan oleh para penuntut ilmu dan pengajar ilmu itu sendiri iaitu
keikhlasan niat kepada Allah SWT.
Hal ini sebagaimana firman Allah SWT: “Pada
hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan
ibadat kepadaNya....” (Surah al-Bayyinah ayat 5).
Menuntut ilmu adalah sebahagian daripada
ibadah, justeru ketika mana kita melaksanakan sebarang ibadah, maka niatlah
yang paling diutamakan.
Hal ini kerana, niat adalah adalah adab
yang paling agung dalam menuntut ilmu di samping dapat mengingatkan kepada diri
mereka agar sentiasa ikhlas kerana Allah SWT ketika menulis dan mengarang
kitab.
Sabda Nabi Muhammad SAW: “Amal itu
tergantung niatnya, dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Barang
siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah
dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya karena dunia atau kerana wanita
yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana ia hijrah” - (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan hadis ini, dapat difahami
bahawa setiap perkara dan amalan yang dilakukan, dihitung berdasarkan niatnya.
Maka kita sebagai penuntut ilmu secara
amnya ketika menuntut ilmu, perlulah berniat ikhlas hanya kerana Allah SWT
semata-mata bukan kerana kebendaan sambil berharap dengan ilmu yang dipelajari
dapat memperbaiki diri yang jahil dan dapat menyebarkannya kepada orang lain.
Justeru, kepada mereka yang ingin
menyambung pengajian ke universiti atau pusat pengajian tinggi, betulkan niat
bahawa tujuan untuk belajar adalah untuk mendapat ilmu. Dengan ilmu itulah
kemudiannya digunakan untuk kebaikan, termasuk mendapat peluang pekerjaan atau
kerjaya yang baik.
Jangan persia-siakan peluang menuntut ilmu
ketika masih ada ruang. Mereka yang berilmu pastinya dapat menggunakan ilmu
yang dipelajari itu ke arah kehidupan lebih baik.
Pengalaman atau proses menuntut ilmu
memberi peluang untuk seseorang terus mengamalkan pengalaman itu dalam hal
berkaitan pencarian ilmu dalam bidang lain pula.
Tambah-tambah lagi ketika era ledakan ilmu
yang bergitu pantas sekarang ini. Sebab itu proses menuntut dan menguasai ilmu
perlu dilakukan sepanjang masa agar ia menepati keperluan ilmu terkini.
Kita seharusnya mencontohi sikap ilmuan yang
terus berusaha mencari ilmu dan menyebarkan kepada orang lain. Mereka tidak
berhenti mencari ilmu dan menyebarkan sehinggalah ke akhir hayat.
No comments:
Post a Comment