Islam memerintahkan umatnya agar menyelidik
sesuatu berita yang diterima untuk menentukan kesahihannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa
sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu
tidak menampakkan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab
kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang
kamu lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Sebab penurunan ayat itu ada hubung kait
dengan berita dibawa oleh al-Walid bin Uqbah bin Abu Muit.
Ahmad bin Hanbal, meriwayatkan bersumberkan
daripada al-Harith bin Dirar al-Khuzaiy, yang berkata, "Aku bertemu
Rasulullah SAW, Baginda mengajakku supaya memeluk agama Islam. Aku menerima
ajakan (dakwah) Rasulullah SAW itu dengan memeluk agama Islam.
“Kemudian Rasulullah SAW mengajakku supaya
mengeluarkan zakat, dan aku menerima ajakan itu. Aku berkata lagi: Aku perlu
pulang kepada kaumku terlebih dulu, untuk mengajak mereka supaya sama-sama
memeluk Islam dan mengeluarkan zakat.
“Sesiapa yang menerima ajakanku itu, aku
akan memungut zakat daripadanya. Wahai Rasulullah SAW apabila sudah cukup
tempoh, maka hantarlah utusan untuk mengambil zakat yang telah dipungut
itu."
Apabila al-Harith selesai memungut zakat
dan tempoh ditetapkan sudah tiba, maka Rasulullah SAW mengutuskan al-Walid bin
Uqbah bin Abu Muit kepada kaum Bani Mustaliq untuk memungut zakat daripada
mereka.
Dalam perjalanan menuju perkampungan Bani
Mustaliq itu, al-Walid merasa takut dan gentar. Lalu al-Walid bergegas pulang
sebelum sempat sampai ke perkampungan Bani Mustaliq dan membawa berita palsu
kepada Rasulullah SAW bahawa al-Harith enggan menyerahkan hasil kutipan zakat
itu, malah mengambil tindakan untuk membunuhnya.
Kemudian Rasulullah SAW mengutuskan
utusannya kepada al-Harith untuk memastikan kebenaran berita yang disampaikan
oleh al-Walid. Dalam perjalanan, utusan Rasulullah SAW itu bertemu dengan
al-Harith dan rombongannya yang sedang menuju kepada Rasulullah SAW.
Ketika pertemuan itu, al-Harith bertanya
kepada utusan itu, "Kepada siapakah kamu semua diutuskan.”
Mereka menjawab: “Kepadamu.” Al-Harith
bertanya lagi: “Mengapa kamu diutuskan ke-padaku?”
Mereka menjawab: “Sesungguhnya Rasulullah
SAW telah mengutuskan al-Walid bin Uqbah kepadamu untuk mengambil hasil kutipan
zakat. Dia berkata bahawa kamu enggan menyerahkan zakat, bahkan bertindak akan
membunuhnya.”
Lantas al-Harith berkata: “Tidak! Demi
Allah yang mengutus Muhammad dengan kebenaran, aku tidak melihat al-Walid pun
dan dia tidak datang kepadaku."
Apabila al-Harith dan rombongannya tiba di
hadapan Rasulullah SAW, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Kamu enggan
menyerahkan hasil kutipan zakat dan cuba membunuh utusanku. Maka al-Harith
berkata: Tidak! Demi Allah yang mengutus engkau dengan kebenaran, aku tidak
berbuat demikian. Maka turunlah ayat 6, surah al-Hujurat." (Ibn Kathir)
Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
"Menyelidiki dengan tenang adalah daripada Allah dan tergopoh-gapah (itu)
adalah daripada syaitan." (Hadis riwayat Tabrani)
No comments:
Post a Comment