Saturday, 21 January 2023

KAMPUNG PENGKALAN DATU DAERAH SERING

 
Kampung Pengkalan Datu terletak di dalam Daerah Sering, Jajahan Kota Bharu, Negeri Kelantan antara tempat yang banyak sejarahnya. Perkataan “datu” merupakan gelaran wakil Raja Patani. Pengkalan pula tempat berlabuh kapal dan perahu. Maka, asal nama Kampung Pengkalan Datu ialah diambil daripada sejarah tempat datu naik turun kapal.
 
Menurut sejarah, terdapat sebuah kota pada zaman dahulu yang dibina dengan kayu di belakang SK Sering. Sekarang tapak kota lama itu menjadi sebahagian Kampung Dalam Kota.
 
Kawasan jeti nelayan di Pasar Warisan Pengkalan Datu, dipercayai menjadi pengkalan kapal dan perahu berlabuh pada masa dahulu.
 
Sungai Pengkalan Datu menjadi laluan pemerintah-pemerintah terdahulu untuk ke kawasan pemerintahan penting seperti Kota Jembal, Kota Mahligai dan sebagainya. Banyak kota lama di Kelantan satu ketika dulu, namun tidak dapat dikesan peninggalannya kerana dibina dengan kayu.
 
Di Kampung Gertak Sagu, yang terletak berhampiran Sungai Pengkalan Datu, terdapat makam yang dipercayai milik merupakan Makam Ratu Kuning, Nang Chayam.
 
Dalam satu tulisan sejarah yang terdapat di Makam Di Raja Bukit Keledang Terengganu, Nang Chayam menabalkan sultan pertama Terengganu, Tun Zainal Abidin Tun Abdul Majid dengan gelaran Sultan Zainal Abidin I.
 
Sebilah keris panjang kurniaan Nang Chayam turut menjadi alat kebesaran Kesultanan Terengganu sehingga kini.
 
Ratu Kuning selain Nang Chayam, turut dikenali masyarakat dengan nama Nang Cayang dan Raja Mas Cayam.
 
Kampung Pengkalan Datu dihubungkan kepada kampung-kampung lain melalui Jalan Raja Sakti dan jalan-jalan lain untuk ke Kota Jembal, Panchor, Wakaf Aik, Pantai Senok, Tawang, Pengkalan Chepa dan sebagainya.
 
Antara aktiviti menarik di Kampung Pengkalan Datu ialah berkayak, memancing, menyelusuri Sungai Pengkalan Datu dengan perahu kolek berukir yang cantik dari Pulau Gajah, treking di hutan nipah dan bakau, menangkap ketam nipah dan mengutip lokam, Pasar Terapung Pengkalan Datu (Sabtu), serta Pasar Warisan Pengkalan Datu (Selasa) yang terkenal dengan produk tani segar dan makanan yang sedap.

No comments:

Post a Comment