Kemiskinan bukan satu takdir, atau bala
yang tidak boleh diubah. Allah SWT memerintahkan agar manusia berusaha
mengubah nasib masing-masing menjadi lebih baik. Yang bulat tidak akan datang
bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan
yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Rad, ayat 11).
Kita diingatkan agar jangan mudah berputus
asa jika berdepan dengan kegagalan. Ini kerana setiap kegagalan tentu ada
hikmahnya. Yakinlah bahawa gagal sekali tidak bermakna gagal
selama-lamanya.
Ketekunan dan kerja kuat yang dilakukan
tanpa jemu pasti akan membuahkan hasil yang lebih besar. Orang berjaya ratanya
bukan dicapai dengan mudah. Mereka telah melalui tempoh perit gentir yang tidak
mudah sebelum mencapai kejayaan.
Mereka berusaha sehingga berjaya. Tidak mudah
mengaku kalah biarpun banyak kali gagal. Usaha dilakukan adalah asam garam
kehidupan.
Kita perlu berusaha memperbaiki kehidupan
dengan bersungguh-sungguh. Setiap perkara baik yang dilakukan adalah
bekalan untuk kehidupan di akhirat. Bekalan untuk dibawa ke akhirat bukan
dalam bentuk ibadat khusus semata-mata. Tugas mencari rezeki juga mendatangkan
pahala untuk bekalan hidup di akhirat.
Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat
ke 105 bermaksud: "Dan Katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah dan
Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan
dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata,
lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan".
Usaha mencari rezeki perlu dilipat ganda
setiap masa. Kita tidak sepatutnya berada di tahap yang sama sepanjang
masa. Apa yang kurang sempuna diusahkan tambah baik untuk mendapat hasil
terbaik. Apa yang dilakukan hari ini adalah lebih baik dari pada semalam
dan esoknya pula lebih baik daripada apa yang diperoleh pada hari ini.
Sesungguhnya Allah SWT suka kepada mereka
yang sentiasa berusaha memperbaiki amalan untuk mendapat hasil lebih baik dalam
semua perkara yang diusahakan. Jadi, kita jangan lepas peluang untuk mendapat
kejayaan yang dijanjikan di dunia dan bekalan lebih banyak di akhirat kelak.
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan
baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana
sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah
al-Baqarah, ayat 195)
Berusahalah mencari rezeki sebagai satu
ibadat. Lakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya mendapat kebaikan
untuk diri, keluarga dan agama. Berusaha mencari rezeki sebagai bekalan di
akhirat.
No comments:
Post a Comment