Monday 23 October 2023

PUNCA TERJADI SIKAP SOMBONG

 
Sombong adalah sikap semula jadi yang wujud dalam setiap diri manunia. Maka, sikap sombong akan terzahir dengan sendirinya apabila wujud sesuatu yang boleh menyebabkan perasaan itu timbul.
 
Kita bukan malaikat yang tidak berdosa. Akuilah diri kita ada sifat itu dan buatlah penawar bagi melemahkan kuasa kesombongan itu.
 
Antara punca wujud sifat sombong ialah kelebihan berkaitan zahir seperti paras rupa, nasab keturunan, ilmu, harta, pangkat dan kedudukan. Ada juga yang menjadi sombong disebabkan merasakan dirinya telah mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah kerana kehebatan amalannya.   
 
Di sinilah cabaran menentukan kekuatan iman dan takwa seseorang. Kita diuji dengan pelbagai kelebihan untuk melihat sama ada kita bersyukur atau menjadi manusia yang sombong.
 
Antara cara menghilangkan rasa sombong dan angkuh ialah mengakui yang paling agung dan berkuasa adalah Allah. Segala kelebihan yang dimiliki adalah dipinjamkan oleh Allah dan boleh ditarik pada bila-bila masa sahaja.
 
Allah SWT telah mengingatkan agar manusia tidak berlagak sombong kerana hakikatnya manusia adalah makhluk lemah. Hanya Allah SWT yang paling berkuasa.
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.” (Surah al-Isra’, ayat 37)
 
Sesungguhnya sikap sombong punca iblis menjadi hamba yang durhaka. Peristiwa kesombongan iblis ini Allah ceritakan dalam al Quran.
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” (Surah al Baqarah, ayat 34)
 
Semakin tinggi kedudukan seseorang seharusnya menyebabkan diri merasa bertambah tawaduk. Kedudukan, kekayaan dan kelebihan yang dimiliki adalah satu amanah yang perlu digunakan sebaik-baiknya. 
 
Kebencian Allah kepada si penyobong ini terakam di dalam sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Orang yang zalim dan sombong akan dihimpun pada hari kiamat dalam rupa semut. Manusia menginjak-injak mereka kerana kehinaan diri mereka di hadapan Allah." (Hadis riwayat Tirmizi)

No comments:

Post a Comment