Saturday 18 November 2023

KEKABU DIGUNA SEBAGAI ISIAN BANTAL

 
Pokok kekabu juga dikenali dengan nama randu dan kapok cukup terkenal di kalangan masyarakat Melayu. Dahulu boleh dikatakan di setiap kawasan kampung terdapat pokok kekabu.  
 
Pokok kekabu banyak tumbuh di kawasan Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Nama botaninya Ceiba pentandra. Ia tergolong dalam famili Bombacaceae.
 
Pokok kekabu memiliki daun yang jarang dan dahan mendatar bertingkat pada sudut mendatar. Pokok kekabu malar hijau ini memiliki batang kelabu pucat berduri. Pokok kekabu biasanya tidak mempunyai teras.
 
Pada masa dahulu pokok kekabu ditanam kerana buahnya yang menghasilkan kekapas yang dijadikan gentian pelbagai guna yang penting pada suatu masa. Pada masa sekarang kekabu masih digunakan sebagai isian bantal dan tilam cara tradisional.
 
Bagaimanapun, penggunaan kekabu semakin berkurangan apabila terdapat gentian tiruan yang lebih digemari. Tambahan pula wujud kekurangan bekalan kekabu disebabakan pokok tersebut tidak ditanam secara ladang. Jadi, bekalan kekabu sukar diperoleh untuk tujuan industri.
 
Bantal atau tilam yang disi dengan kekabu mampu bertahan sehingga 20 tahun, tetapi ia perlu dijauhkan dari air, dan dijemur dan dipukul dengan pemukul rotan bagi menyingkir debu kekabu yang telah hancur.
 
Buah kekabu memiliki kelongsong bujur yang menyerupai buah koko. Kelongsong berkayu itu tumbuh segugus seperti timun kecil. Pada mulanya ia bewarna hijau dan kemudian bertukar perang dan kehitaman apabila matang. Apabila mencapai tempoh buah kekabu akan pecah kepada lima bahagian dari hujung ke pangkal dan membebaskan biji benihnya yang diselitupi dengan kekabu.
 
Buah kekabu yang telah berbuka akan membebaskan gentian lembut putih yang berterbangan jatuh ke tanah, selain ada yang terus terletak di empulur yang masih melekat di tangkai untuk beberapa ketika, sebelum jatuh.
 
Gentian yang gugur perlu dikutip segera sebelum ia diterbangkan lebih jauh ke tempat lain.
 
Gentian lembut bersutra, putih kekuningan merupakan unjuran dari dinding dalam kelonsong berkayu yang turut menyelitupi biji benih dalamnya. Ini berbeza sama sekali dari pokok kapas di mana gentian itu terbentuk daripada penutup luar biji benih.

No comments:

Post a Comment