Thursday 28 December 2023

BUKAN ISLAM KAJI BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH

 
Cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham agar pakar bukan Islam turut dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah sebagai 'tidak berpijak di bumi nyata.' Ia hanya akan mencetuskan polemik tidak perlu dalam suasana harmoni rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini.
 
Mahkamah Syariah dikhususkan kepada rakyat beragama Islam, manakala proses menambah baik dan menaik tarafnya sentiasa dilaksanakan secara bertahap dan mengambil kira ruang lingkup kuasa dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.
 
Jadi, mengapa pula sekarang ini ia perlu melibatkan pakar bukan Islam untuk mengkaji bidang kuasa Mahkamah Syariah yang hanya dikhusus untuk orang Islam. Orang Islam di Malaysia lebih arif akan keperluan dan hal ehwa orang Islam sendiri.
 
Proses menaik taraf Mahkamah Syariah meliputi aspek pentadbiran, kompetensi, emolumen dan penggajian hakim serta pegawai, serta bentuk dan tahap hukuman diperuntukkan bawah kuasa mahkamah itu, ia tidak pernah sekali-kali mengambil mahupun mencabuli hak warga bukan Islam.
 
Ini juga sejajar peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara serta pelindung kepada kesucian agama Islam sebagai Agama Persekutuan, pada masa sama mengiktiraf kebebasan agama-agama lain untuk diamalkan di negara ini.
 
Justeru, berikanlah kepercayaan dan keyakinan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan panel yang bakal menganggotai jawatankuasa itu kelak. Tentunya DYMM Tuanku Raja-Raja Melayu amat bijaksana dan pasti mengambil kira segala aspek, termasuk bidang kuasa diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mengabsahkan terma-terma rujukan jawatankuasa itu.
 
Cukuplah penglibatan Ahli Parlimen bukan Islam dalam menentukan atau menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah ketika ia dibentangkan di Parlimen. Ketika dibentangkan di Parlimen, semua Ahli Parlimen, termasuk bukan Islam berpeluang untuk membahas, menyokong, meminda atau menolak cadangan yang terkait penggubalan undang-undang mahupun Perlembagaan.

No comments:

Post a Comment