Monday 11 December 2023

KASHMIR HILANG KUASA AUTONOMI DARIPADA INDIA

 
Kuasa autonomi (pemerintahan sendiri) yang dimiliki dua wilayah iaitu Jammu dan Kashmir daripada kerajaan India telah dimansuhkan. Ini apabila Mahkamah Agung India telah mengesahkan keputusan kerajaan untuk memansuhkan Artikel 370 Perlembagaan yang menamatkan autonomi berdekad-dekad di wilayah Jammu dan Kashmir.
 
Panel lima hakim itu membuat keputusan itu selepas mendengar petisyen yang mencabar pembatalan status autonomi Jammu dan Kashmir yang dibuat oleh Parlimen India pada 5 Ogos 2019.
 
Keputusan kerajaan itu membahagikan satu-satunya negeri berpenduduk majoriti Islam di India itu menjadi dua wilayah iaitu Jammu dan Kashmir yang kini ditadbir oleh kerajaan Persekutuan bersama Ladakh.
 
Ketua Hakim D.Y. Chandrachud dalam keputusannya berkata, Jammu dan Kashmir tidak lagi mempunyai status yang berbeza dengan negeri-negeri lain di India, dan peruntukan Perlembagaan India boleh dikenakan ke atasnya.
 
Beliau berkata, Artikel 370 hanya merupakan peraturan sementara.
 
Negeri bekas wilayah kecil itu menjadi sebahagian daripada India melalui perjanjian penyertaan yang ditandatangani pada Oktober 1947 oleh pemerintah wilayah itu Maharaja Hari Singh.
 
Wilayah itu yang terpisah sejak persempadanan Asia Selatan pada 1947, dikuasai sebahagian oleh Pakistan dan India, dan dituntut oleh kedua-dua negara itu sepenuhnya.
 
Mahkamah tertinggi juga memerintahkan Jammu dan Kashmir memperoleh status negeri masing-masing secepat mungkin dan mengadakan pilihan raya selewat-lewatnya pada 30 September tahun depan. Wilayah itu kini ditadbir oleh pegawai yang dilantik oleh kerajaan Persekutuan.
 
Kebanyakan penduduk Kashmir percaya bahawa pemansuhan autonomi wilayah itu akan mengancam identiti mereka yang tersendiri selain keseimbangan demografi.

No comments:

Post a Comment