Tuesday 5 March 2024

TENTANG TIDAK CIUM HAJARUL ASWAD

 
Saya kadang-kadang ditanya: “Apa perasan dapat cium batu hajarul aswad?”
Jawapan saya: “Saya tidak tau, sebab saya tidak pernah. Sentuh pun belum, apa lagi cium.” Yang bertanya, biasanya pura-pura terkejut ayam. Sungguh-sungguh tidak percaya. Tapi itulah hakikatnya.
 
Selama empat tahun di bumi anbia (208 minggu), secara anggaran terpaling kasar, saya ziarah Mekah untuk umrah lebih 100 kali. Memang setiap minggu saya ke Mekah, kecuali bila saya balik cuti di Malaysia, atau outstation di luar Saudi.
 
Ya, saya pernah mastautin (pemegang iqama) di Arab Saudi. Masa itu saya jadi felo pelawat pusat kajian perubahan iklim, di King Abdulaziz University. Terletak di Jeddah, cuma 45 minit naik teksi ke Mekah.
 
Sewaktu di sana (Feb 2012 — Feb 2016), Saudi belum liberal macam sekarang. Pengasingan gender begitu rigid di tempat awam. Negara itu masih sepi dari segala jenis hiburan.
 
Selain berkelah di tebing Laut Merah yang ikonik itu, sambil menikmati puputan angin Mediteranean dan mencicip kopi Arab yang aromatik, tidak ada banyak aktiviti hujung minggu lain yang boleh dibikin.
 
Jadi melawat Mekah atau Madinah secara berselang ganti — adalah rutin hujung minggu yang lazim. Tapi Madinah jaraknya agak jauh (400 km), maka saya lebih kerap ziarah Mekah.
 
Selama di sana, saya melawat Mekah sekurang-kurangnya sekali setiap minggu. Kadang-kadang dua-tiga kali. Ada ketika sekadar datang minum kopi di bistro-bistro lokal tepi jalan. Sambil menikmati pesona kudus kota suci ini.
 
Soalnya, kenapa belum pernah sekali pun dapat sentuh atau kucup hajarul aswad? Bagi yang pernah ke sana, tentu boleh agak apa sebabnya.
 
Mau mendekati hajarul aswad di dinding Kaabah itu, kau bukan saja perlu berhimpit dan bersesak-sesak. Malah, kau perlu jadi ganas dan kurang ajar.
 
Tidak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan, semua jadi enau dalam belukar. Masing-masing mau lepaskan pucuk dengan cara yang brutal. Tolak-menolak, kadang-kadang sampai jatuh tersadung. Bergaduh pun ada.
 
Ketika menunaikan umrah pertama kali, saya ada juga pasang niat mau kucup hajarul aswad. Dari lingkaran tawaf paling luar, saya cuba bergerak sikit-sikit ke arah tengah, menuju kaabah. Tapi separuh jalan, saya batalkan misi.
 
Ketaasuban para jemaah mau gapai batu historikal itu, membuat saya galau terkencar-kencar. Serius. Ada jemaah yang macam hilang akal, merempuh dan menggempur. Tidak peduli siapa pun — di kiri, kanan, depan dan belakang.
 
Pada tanah paling suci di bumi, di depan simbol rohani tertinggi — kenapa manusia hilang sifat insaninya? Terlalu obses mau beragama, tapi tidak mau bertuhan? Sampai hilang sifat malu pada-Nya di tempat paling awam. Dikelilingi manusia ribu-ribu.
 
Ada satu ketika, pegawai kementerian Saudi datang ke universiti. Sebab mau dengar taklimat ramalan cuaca dan iklim yang kami baru bangunkan.
 
Sebagai penyibuk tegar yang kuat komplen, saya membebel manja pada pegawai itu. Pertama, saya cakap pasal bandar Jeddah yang tersangat kotor. Penuh dengan sampah sarap.
 
Kedua, tentang kawalan aktiviti tawaf di Mekah. Saya bagitau, kerana ketaasuban jemaah pada hajarul aswad, maka proses tawaf jadi sangat perlahan secara signifikan.
 
Bayangkan jemaah dari lingkaran paling luar, berpusu-pusu merentas masuk tengah, ke arah Kaabah. Ini akan kucar-kacirkan perjalanan tawaf setiap lingkaran yang dirempuh. Secara keseluruhan, ini menjadikan gerakan tawaf jadi sangat-sangat perlahan.
 
Kamu tau apa implikasinya? Inilah punca utama yang menghadkan bilangan jemaah haji. Penempatan di Mina dan padang Arafah masih ok. Boleh lagi ditingkatkan daya tampung. Melontar di jamrah juga belum mencapai kapasiti penuh. Tambah jemaah pun boleh lagi.
 
Tapi limitasi jumlah jemaah haji setiap tahun itu ditentukan oleh daya-tampung gerakan tawaf. Pengurusan Saudi mesti buat anggaran berapa ramai orang yang secara realistik boleh menamatkan tawaf wajib yang dituntut dalam tempoh waktu ibadat haji itu — berdasarkan “kecekapan pusingan mengelilingi Kaabah”.
 
Dengan situasi sekarang, yang mana semua orang obses tahap majnun mau merajadewatakan hajarul aswad, dan pihak autoriti Saudi pula tidak reti mewujudkan kaedah kawalan yang sistematik - maka, tahap “kelajuan” untuk melengkapkan satu kitar tawaf yang lengkap, memanglah sangat lemau dan lembab.
 
Mau tambah bilangan dan kuota jemaah haji, takut ada yang tidak sempat sempurnakan tawaf. Nanti ramai mengamuk pula, bila haji tidak sah sebab rukun tidak cukup.
 
Kalau ikut senarai Tabung Haji, umur 75 tahun, baru giliran saya untuk tunaikan rukun Islam yang kelima ini. Itu pun, kalau masih hidup. Usia begini, jalan sudah bertongkat-tongkat. Tapi mungkin bagus juga, senang sikit mau tujah perut orang, jika mau berebut cium hajarul aswad. Haha.
 
Mujur saya dapat peluang naik haji dengan kuota lokal pemastautin Saudi, semasa ada di sana. Syukur.
 
Tapi isunya, jika kelajuan gerakan tawaf itu dapat diperbaiki, sebenarnya kuota haji itu masih boleh dinaikkan dengan signifikan. Tidaklah nanti sudah tua kerepot, baru dapat peluang. Kerana terpaksa tunggu giliran bertahun-tahun.
 
Tentang Hajarul Aswad, janganlah taasub melampau. Nilai batu hitam itu terletak pada sejarah dan sirah. Bukan pada kewujudannya secara fizikal.
 
Tidak dapat sentuh Hajarul Aswad dengan tangan, tidak mengapa. Tidak boleh kucup Hajarul Aswad dengan bibir, tiada masalah.
 
Yang kita patut lebih risaukan, kalau ibrah Hajarul Aswad yang terungkap dalam kisah silamnya - gagal menyentuh hati dan tidak mampu mengucupi jiwa keras kita.
 
Apa sebenarnya hikmah yang tersirat? Peristiwa Hajarul Aswad mencitrakan kebijaksanaan Nabi dalam meleraikan perselisihan sesama manusia - dengan penuh diplomatik, kompromi dan harmoni.
 
Maksudnya, Hajarul Aswad itu adalah simbol pemikiran bijak dan tolak ansur. Bukan lambang berasak-pijak dan bertolak-tolak sampai tersungkur.
 
Sumber – FB Rem Dambul

No comments:

Post a Comment