Wednesday 3 July 2024

BELANGKAS JANTAN SENTIASA BERSAMA BETINA

 
Peribahasa “macam belangkas” bermaksud dua orang yang terlalu rapat perhubungannya dan tidak boleh dipisahkan. Mengapa orang dahulu menjadikan belangkas sebagai pelambangan untuk menggambarkan keadaan tersebut?
 
Kehidupan belangkas jantan dan betina memang unik. Binatang hidupan laut itu memperlihatkan fenomena belangkas jantan sentiasa menenggek di belakang belangkas betina ini. Kalau tidak bertenggek, pasti berada amat rapat antara jantan dan betina.  

Ada orang mengatakan, belangkas jantan tidak pandai mencari makan sendiri. Hanya bergantung hidup kepada belangkas betina mencari makanan yang akan dikongsikan dengannya. Sebab itulah belangkas jantan perlu sentiasa berada dengan belangkas betina.
 
Kalau betullah begitu, entah bagaimanalah nasib belangkas jantan yang terpisah dengan belangkas betina. Mungkin belangkas jantan mati kelaparan atau mati merana. Walau bagaimanapun, nasib belangkas jantan tentu lebih baik berbanding belangkas betina yang ditangkap dan dikorbankan untuk mendapatkan telurnya. Belangkas jantan boleh mencari belangkas betina lain untuk meneruskan hidup.
 
Belangkas atau nama saintifiknya tachypleus gigas bukan saja dianggap sebagai hidupan eksotik, tetapi spesies unik ini sebenarnya sudah wujud lebih 200 juta tahun serta mendahului dinosaur dengan fosil tertua kira-kira 475 juta tahun.
 
Haiwan daripada keluarga Limulidae ini hidup di laut dan paya air payau, malah agak unik apabila hidupan akuatik ini juga tergolong dalam kumpulan ‘arachnids’ iaitu labah-labah berikutan mempunyai sedikit persamaan pada bahagian kaki.
 
Secara fizikalnya, bentuk badannya seakan-akan topi besi digunakan tentera zaman dahulu dan juga mempunyai ekor yang panjang dan tajam. Malah, ia boleh mencapai saiz sehingga 51 sentimeter, selain anggotanya yang putus boleh tumbuh semula serta mempunyai sistem keimunan yang menakjubkan.
 
Belangkas halal dimakan. Bagaimanapun, bahagian yang boleh dimakan hanya telurnya. Bahagian tubuh belangkas tidak tidak banyak isi. Jadi, hanya belangkas betina yang dicari untuk mendapatkan telurnya.



No comments:

Post a Comment