Sunday, 16 February 2025

SANGKAK AYAM

 
Sangkak adalah tempat ayam bertelur. Dalam dialek Kelantan dipanggil sakok. Sangkak biasanya dibuat daripada batang buluh pada satu bahagian hujung dibelah-belah dan kemudian dianyam membentuk seperti bentuk kon. 

Sangkak juga dipanggil terak. Selain itu satu lagi yang membawa maksud tempat ayam bertelur ialah petarangan. Satu peribahasa Melayu menggunakan perkataan sangkak ialah menjunjung sangkak ayam yang bermaksud mendapat malu besar.
 
Sangkak ayam memang terkenal dalam masyarakat Melayu. Boleh dikatakan di setiap rumah ada sangkak kerana pada masa dahulu setiap keluarga ada membela ayam yang sekarang dipanggil ayam kampung untuk membezakan dengan ayam daging yang menjadi bahan menu masyarakat sekarang.
 
Ayam kampung dibiarkan bebas. Ayam betina yang ingin bertelur akan mencari tempat khas untuk bertelur dan seterusnya mengeramkan telurnya itu sehingga menetas mengeluarkan anak ayam.
 
Biarpun sifat ayam tidak prihatin seperti burung yang membuat sarang tempat bertelur, ayam betina akan mencari tempat yang sesuai. Untuk mengelak ayam memilih atau membuat sarang di tempat tidak sesuai, maka tuan ayam akan menyediakan tempat untuk bertelur yang dipanggil sangkak itu.
 
Sangkak diletakkan di bawah rumah untuk mengelak ia ditimpa hujan. Pada masa dahulu boleh dikatakan semua rumah ada bahagian bawah rumah dengan kadar tinggi sekurang-kurangnya satu meter. Ada rumah kampung yang bahagian bawah rumah setinggi dua hingga tiga meter. Orang boleh berjalan di bawahnya tanpa perlu membongkokkan badan.
 
Sangkak akan diletakkan rumput kering atau jerami kering. Ada juga yang meletakkan kain buruk. Tujuannya untuk ayam selesa bertelur di situ dan mudah proses mengeram.
 
Setelah proses mengeram dan telur menetas, ayam akan meninggalkan sangkak. Ayam akan kembali ke sangkak itu semula apabila ingin bertelur lagi. Ketika sangkak itu kosong, ada ayam lain pula akan menggunakan. Masalahnya jika ayam ingin bertelur serentak yang menyebabkan berlaku perebutan di antara ayam betina.

No comments:

Post a Comment