Sungai Kelantan sepanjang 248 kilometer yang menjadi tulang belakang
kepada sumber air negeri. Hampir kesemua sungai-sungai yang berselirat adalah
bermula dari bahagian banjaran Titiwangsa (bersempadan dengan Perak di barat
dan Pahang di selatan) dan dari banjaran Tahan (bersempadan dengan Terengganu
di timur dan tenggara).
Sehubungan sumber itu, Sungai Kelantan bersumberkan air dari dua cabang sungai utama ialah Sungai Galas sepanjang 178 kilometer dari arah barat dan Sungai Lebir sepanjang 91 kilometer dari arah selatan.
Sungai Galas pula mendapat sumber air dari sebelah baratnya (bersempadan dengan Perak), iaitu dari Sungai Terang dan Sungai Balah mengalir memasuki alur Sungai Pergau hingga melalui Dabong lalu memasuki aliran Sungai Galas. Kemudiannya aliran Sungai Galas memasuki alur utama Sungai Kelantan.
Sementara dari arah barat daya (sempadan Pahang) ada dua sungai utama, iaitu Sungai Berok mengalir memasuki Sungai Betis. Kemudian Sungai Betis mengalir dan memasuki Sungai Galas. Dari arah tenggara pula, Sungai Galas turut bersambung dengan Sungai Chiku.
Sungai Lebir pula bermula dari arah selatan (Taman Negara bersempadan dengan Pahang) yang bersambung dengan tiga sungai utama, iaitu Sungai Aring, Sungai Koh dan Sungai Badong dari arah selatan. Sungai Lebir juga bersambung dari arah tenggara (bersempadan dengan Terengganu) dengan tiga sungai utama, iaitu Sungai Pertang, Sungai Antia dan Sungai Miak.
Sebelum memasuki Sungai Kelantan, Sungai Galas melalui Jeli dan Gua Musang. Begitu pula Sungai Lebir mengalir melalui kawasan hutan simpan dan pembangunan tanah Aring dan penempatan Laloh serta perkampungan Manik Urai. Kemudian dua cabang sungai utama ini (Sungai Galas dan Sungai Lebir) bertemu di Kuala Krai dan memasuki Sungai Kelantan.
Kemudian Sungai Kelantan akan mengalir ke hilir melalui Machang, Tanah Merah, Pulai Chondong, Ketereh, Pasir Mas, Kota Bharu dan Tumpat sebelum keluar ke Laut China Selatan. Kesemua kawasan lembah sepanjang aliran sungai-sungai ini terdedah kepada kejadian banjir.
Sementara di bahagian pantai Kelantan pula terdapat tiga sungai utama iaitu, Sungai Pengkalan Datu, Sungai Kemasin dan Sungai Semerak. Punca sungai-sungai ini ialah di beberapa tempat tadahan air yang terletak di kawasan tanah tinggi yang berbukit (sekitar Pasir Puteh, Machang dan Bachok) dan kawasan tanah rendah (bendang dan paya) dalam kawasan pengairan Kemubu.
Bagaimanapun di bahagian utara Kelantan bersempadan dengan Thailand (Jeli, Rantau Panjang dan Pasir Mas) tiada sungai yang utama, melainkan Sungai Golok yang menjadi sempadan dengan Thailand. Punca Sungai Golok ialah di daerah perbukitan di Waeng, Thailand yang bersempadan dengan Kelantan. Akibatnya limpahan Sungai Golok seringkali menjadi punca banjir di sebelah utara Negeri Kelantan ini.
No comments:
Post a Comment