Wednesday 27 June 2018

Unsur dilarang dalam MLM

Perniagaan berbilang tingkat (multi-level marketing - MLM) atau lebih dikenali jualan langsung mendapat sambutan di kalangan rakyat Malaysia. Terdapat peraturan atau syarat perlu dipatuhi bagi memastikan perniagaan itu halal dijalankan atau disertai oleh orang Islam.

Antara unsur yang dilarang dalam MLM ialah:

(1) Mengandungi Unsur Skim Piramid

(a) Skim piramid atau skim cepat kaya adalah tidak mematuhi prinsip-prinsip Syariah kerana berteraskan unsur perjudian atau pertaruhan (qimar) melalui permainan wang (money game) iaitu downline yang baharu ditaja oleh upline akan kehilangan wang penyertaan jika tidak berusaha mencari downline yang lain.

(b) Kontrak bertulis antara syarikat dan peserta tidak disediakan.

(c) Pelan memfokuskan kepada pencarian atau perekrutan ahli baharu (downline) semata-mata atau terutamanya dan bukan dengan tujuan menjalankan perniagaan melalui aktiviti pergerakan produk kepada pengguna-pengguna akhir secara sewajarnya.

(d) Pendapatan peserta dan syarikat dalam skim piramid atau skim cepat kaya dijana daripada yuran penyertaan ahli baharu semata-mata atau terutamanya dan bukan hasil daripada penjualan barang atau perkhidmatan.

(e) Pembelian wajib barang atau perkhidmatan atau harta tidak ketara atau bayaran minimum atau kehendak jualan dikenakan sebagai syarat untuk melayakkan seseorang mendapat bonus atau faedah ekonomi lain dalam skim terhadap pembelian atau jualan peribadi atau pembelian atau jualan ahli di bawahnya.

(f) Peserta tidak diberi pilihan dan dikehendaki melakukan "inventory front-loading” iaitu membeli barang atau perkhidmatan dalam amaun yang tidak munasabah yang melebihi jangkaan boleh dijual atau digunakan dalam suatu tempoh masa yang munasabah.

(g) Pembelian pangkat atau pembelian lebih daripada satu keahlian merupakan pendekatan yang mengandungi elemen skim piramid dan dengan itu adalah bertentangan dengan hukum syarak.

(h) Syarikat yang menetapkan struktur pembayaran bonus mengikut susunan hierarki yang ketat tanpa membenarkan peserta melangkau upline dengan tidak mengambil kira keupayaan dan usaha sebenar peserta adalah mengandungi elemen skim piramid yang bertentangan dengan hukum syarak.

(i) Polisi bayar balik (refund) atau polisi beli balik (buy back) tidak disediakan

(j) Tidak membenarkan peserta menarik diri daripada menyertai pelan.

(2) Mengandungi Unsur Penipuan, Penindasan, Manipulasi dan Eksploitasi Dalam Pelan Pemasaran dan Pelan Pemberian Insentif

(a) Syarikat hendaklah memastikan bahawa pelan pemasaran dan pelan pemberian insentif adalah telus dan adil serta bebas daripada sebarang bentuk penipuan, penindasan, manipulasi dan eksploitasi yang boleh memperdaya ahli atau pengguna.

(b) Sebarang unsur penipuan, penindasan, manipulasi dan eksploitasi oleh ahli atau pengedar dalam usaha mencari ahli baharu semata-mata atau terutamanya untuk meningkatkan sasaran pencapaian kumpulan adalah ditegah oleh hukum syarak.

"Manipulasi" ertinya segala tindakan dan selok-belok untuk memperdaya orang atau mempengaruhi pendirian orang lain tanpa disedari orang itu.

"Eksploitasi" ertinya perbuatan (tindakan) mengambil kesempatan untuk mempergunakan seseorang atau sesuatu keadaan dan secara tidak adil demi kepentingan atau keuntungan diri sendiri.

(3) Mengandungi Unsur Paksaan

(a) Usaha yang bertujuan untuk mencari ahli baharu hendaklah dibuat menerusi pendekatan dan kaedah yang telus dan berhikmah tanpa unsur paksaan yang boleh mengganggu atau mendatangkan kegelisahan dan kegusaran kepada individu yang didekati.

(b) Selepas setiap sesi penerangan tentang profil syarikat, produk, pelan pemasaran dan pelan pemberian insentif, individu yang didekati mestilah diberi ruang dan masa untuk berfikir bagi membuat pertimbangan sama ada ingin menjadi peserta atau menolak pelawaan tersebut.

(c) Peserta hendaklah diberi kebebasan sepenuhnya dalam pembelian dan tidak didesak untuk membeli pakej barangan tertentu untuk memenuhi kehendak jualan bagi melayakkan mereka mendapat kedudukan atau bonus dalam skim sedangkan mereka berkemungkinan tidak memerlukan beberapa barang dalam pakej tersebut atau memerlukan barang-barang yang ditawarkan dalam pakej tersebut tetapi tidak pada jumlah yang begitu banyak seperti yang ditetapkan.

(4) Mengandungi Unsur Pembaziran

(a) Pembelian dalam kuantiti yang banyak tanpa justifikasi yang wajar semata-mata untuk mendapatkan bonus yang ditawarkan tanpa mempunyai strategi pemasaran yang sewajarnya.

(b) Pembelian produk yang ditawarkan oleh syarikat hendaklah berlandaskan kepada keperluan kepenggunaan sebenar dan/atau keupayaan untuk menjual produk tersebut.

(5) Menjanjikan Keuntungan Tetap Tanpa Usaha

Mana-mana syarikat jualan langsung yang menjanjikan keuntungan tetap kepada peserta melalui pemberian komisen/bonus tanpa sebarang usaha yang jelas meliputi aktiviti promosi dan penjualan barang atau perkhidmatan adalah bertentangan dengan hukum syarak kerana mengandungi unsur riba.

(6) Mengandungi Unsur Syubhah

Dalam konteks perniagaan jualan langsung yang berteraskan multi-level marketing, syarikat hendaklah memastikan bahawa pelan pemasarannya adalah bebas daripada perkara yang tidak jelas atau syubhah dalam setiap aspek perniagaan tersebut meliputi pelan pemasaran, pemberian insentif, barang dan perkhidmatan dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya bagi memastikan perniagaan yang dijalankan adalah mematuhi prinsip-prinsip syariah yang telah digariskan oleh Islam.

No comments:

Post a Comment