Monday 29 November 2021

PENELITIAN HUKUM KAEDAH AL-MASALIH AL MURSALAH

 
Salah satu cara penetapan hukum dalam Islam ialah melalui kaedah al-masalih al-mursalah.

Istilah al-masalih al-mursalah didefinisikan oleh para ulama sebagai kepentingan yang tiada keterangan nas secara langsung sama ada memperakui atau menolaknya.  

Dengan kata lain, pemimpin perlu melakukan satu keputusan untuk menyelesaikan keperluan rakyat sama ada untuk mendapat kebaikan atau mengelak daripada berlaku perkara buruk.

Sebenarnya kaedah persoalan maslahah tidak digunakan secara terburu-buru atau ikut suka hati. Dalam hal ini, ulama telah membahagikan maslahah kepada beberapa jenis;

Jenis maslahah

Pertamanya berdasarkan kepada kekuatan maslahah yang dibahagikan kepada daruriyyah, hajiyyah dan tahsiniyyah. 

Darusiyyah. Dalam permasalahan darudiyyah yang berkaitan keperluan asasi manusia, di mana tanpa memenuhinya kehidupan manusia akan berdepan masalah besar. Perkara ini merujuk kepada keperluan memelihara lima perkara asas iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.     

Justeru, perkara ini penting diberi perhatian seperti bagaimana kerajaan menetapkan dasar Dasar Makanan Negara yang mengkhususkan kepada usaha-usaha untuk memastikan bekalan makanan mencukupi untuk keperluan rakyat.  

Keperluan ini termasuk berkaitan larangan menyorok bekalan makanan, kawalan harga, larangan ekspot dan perkara lain yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk memenuhi keperluan makanan yang menjadi keperluan asas manusia.    

Peraturan ditetapkan oleh kerajaan berkaitan penetapan harga amat penting terutama pada musim perayaan. Ada pihak tidak bertanggungjawab mengenakan harga tinggi untuk mengaut keuntungan besar.  

Jika perkara ini tidak dikawal, ia bukan saja menyebabkan harga tinggi, tetapi juga menimbulkan keresahan di kalangan rakyat apabila keperluan mereka tidak dapat dipenuhi. Maka itu, seluruh rakyat perlu membantu kerajaan untuk menjayakan kawalan harga ini.

Hajiyyah. Manakala di peringkat hajiyyah pula merujuk kepada sesuatu yang dianggap sebagai satu keperluan bagi mengelak kerumitan serta kesusahan dari kehidupan.

Kesan jika tidak memenuhi keperluan ini tidak seburuk akibat tidak memenuhi keperluan daruriyah. Namun, ia masih dianggap satu perkara yang perlu diberi perhatian untuk mengelak masalah. 

Antara contoh pensyariatan hukum-hukum rukhsah dalam keperluan ini ialah keperluan mengadakan perkhidmatan perbankkan yang menyediakan kemudahan penyimpanan dan pembiayaan, kewujudakan Tabung Haji, mengadakan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN), melaksanakan Akta Fitnah dan sebagainya.  

Hal-hal ini bersangkutan dalam pelbagai aspek keperluan hidup manusia merangkumi ibadat, adat, muamalat dan jenayah. 

Perkara yang diadakan oleh kerajaan Malaysia itu ternyata tidak terdapat atau diamalkan pada zaman Rasulullah SAW, namun atas konsep maslahah ia diwujudkan.  

Kerajaan mengadakan atau melaksanakan keperluan untuk mengelak masalah berlaku menimpa masyarakat. Umpamanya, andaikan jika perkhidmatan bank tidak diwujudkan.  

Bagaimana orang ramai hendak menyimpan wang? Jika disimpan di rumah, mudah dicuri atau kehilangan. Selain itu, tanpa perkhidmatan bank sukar untuk individu mendapatkan sumber pembiayaan khususnya untuk membeli barang mahal seperti rumah, kereta dan keperluan lain.

Tahsiniyyah. Tahap ketiga keperluan berasaskan kekuatan maslahah ialah tahsiniyyah iaitu maslahah yang diperlukan untuk keselesaan hidup. Maslahah ini berkaitan dengan kemuliaan akhlak dan kesempurnaan adab dalam kehidupan manusia. Jika perkara ini tidak dipenuhi, ia tidak akan mencacatkan atau menyusahkan manusia. 

Maslahah ini sekadar untuk memberi atau mewujudkan keselesaan hidup manusia. Sepertimana keperluan lain ia juga bersangkutan dengan ibadat, adat, muamalat dan jenayah seperti syariat bersuci, menjauhi pembaziran, bersedekah dan sebagainya.

Dalam aspek kenegaraan yang diamalkan di Malaysia pada hari ini ialah seperti mengadakan undang-undang berkaitan Akta Perhimpunan Aman yang bertujuan bagi mengawal sesuatu perhimpunan agar berlangsung dengan teratur, aman dan tidak mendatangkan mudarat. 

Melalui akta itu juga memudahkan urusan pihak keselamatan dan pihak berkuasa tempatan menyediakan sesuatu yang diperlukan untuk memastikan ia berjalan lancar. Jelas sekali akta itu memberi kemudahan dan keperluan untuk keselesaan masyarakat.

Berdasarkan Pengiktirafan Syarak

Berdasarkan aspek ini, para ulama telah membahagikan maslahah kepada tiga bahagian iaitu:

Maslahah Yang Diterima (Mu’tabarah). Maslahah ini adalah maslahah yang diakui syarak berdasarkan nas yang qati seperti al-Quran, al-Sunah, ijmak an qias. Contohnya berkaitan untuk memelihara matlamat syarak iaitu agama, jiwa, akal, harta dan keturunan.  

Dalam hal ini tindakan yang berkaitan dengannya diterima tanpa dibahaskan. Dalam hal ini contoh apa yang dijalankan di negara kita ialah undang-undang yang berkaitan dengan Akta Dadah Berbahaya, kawalan terhadap meminum arak dan aktiviti merokok.

Maslahah Yang Ditolak (Mulghah). Maslahah ini tidak diterima oleh syarak sebagai maslahah sekalipun dianggap sebagai keperluan atau kehendak yang diminati oleh sesetengah pihak. Perkara ini disebabkan perkara itu telah ditolak atau ada secara jelas dinyatakan oleh syarak. 

Contoh dalam hal ini ialah berkaitan kahwin kotrak atau mutaah. Biarpun perkahwinan secara ini pernah diamalkan atau diterima dalam Islam, tetapi telah terdapat nas jelas yang menghalang amalan itu diteruskan.  

Jadi, biarpun terdapat keperluan manusia atau golongan tertentu terhadap kahwin mutaah, maka perkara itu tidak boleh dibenarkan oleh syarak. 

Di negara kita, tidak terdapat Majlis Agama atau pihak berkuasa agama yang membenarkan umat Islam di Malaysia berkahwin mutaah, selari dengan kehendak syarak. Sesiapa yang melakukan kahwin mutaah di Malaysia boleh dituduhkan sebagai melakukan zina kerana perkahwinan mereka itu tidak sah.

Maslahah Yang Tidak Diterima atau Tidak Ditolak. Masalah yang tidak diterima atau tidak ditolak adalah maslahah tidak dijelaskan mengenainya oleh nas sama menerima atau menolaknya. 

Hal inilah yang sebenarnya menjadi sebahagian dasar atau undang-undang yang diamalkan di negara kita. Apa yang penting amalan atau peraturan itu bertujuan untuk kebaikan atau menghalang kepada perkara buruk.  

Contoh dalam penguatkuasaan memastikan bahawa setiap kenderaan bermotor mesti daftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan yang bertujuan untuk keselamatan, pengurusan dan mengelak salahguna. 

Gambar hiasan: Pantai Kundur, Kota Bharu.

No comments:

Post a Comment