Isteri
yang baharu dikahwini bukan barang yang diletakkan di dalam kotak yang perlu
dibukakan kotak setelah menjadi milik suami.
Kalaupun
memang perlu dibukakan, tidak sepatutnya gambar mengenainya dikongsikan dengan
orang ramai. Bukalah semahunya, tetapi itu rahsia suami isteri yang tidak
sekali-kali didedahkan kepada awam. Itu semua orang sudah tahu apa yang
sepatutnya akan berlaku.
Trend
‘unboxing pasangan’ atau ‘unboxing isteri’ yang menjadi ikutan dalam kalangan
pasangan pengantin baharu jelas bertentangan dengan prinsip dan budaya Islam
itu sendiri.
Islam
memerintah suami untuk menjaga kehormatan dan penampilan isteri masing-masing.
Suami sepatutnya melindungi dan memelihara ahli keluarga masing-masing daripada
mendapat kemurkaan Allah SWT, di samping menyeru mereka untuk taat kepada Allah
dan meninggalkan larangan-Nya.
Segala
budaya atau trend yang jelas tidak mencerminkan akhlak mahupun peribadi agama
Islam itu sendiri perlu dijauhi. Adalah dibimbangi sekiranya budaya atau trend
sebegini menjadi ikutan anak-anak muda sehingga akhirnya ia dianggap sebagai
perkara biasa.
Apa
yang lebih membimbangkan lagi ia akan mencetuskan kepada perkara yang lebih
parah seperti mendedahkan aksi mesra yang keterlaluan, mendedahkan aurat dan
lain-lain.
Sepatutnya
semua itu menjadi rahsia di antara suami isteri dan bukannya perlu
dipertontonkan kepada orang lain.
Nabi SAW bersabda yang
bermaksud: "Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada
bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat: si penderhaka kepada
ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki dayus"
(Hadis riwayat Ahmad dan Nasai - Albani mengesahkan Sahih: Ghayatul Maram, no
278).
Dalam sebuah hadis lain
pula yang bermaksud: "Tiga yang telah Allah haramkan
baginya syurga; orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu
bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli
keluarganya" (Hadis riwayat Ahmad).
Justeru,
adalah menjadi tanggungjawab suami untuk memelihara kehormatan dan penampilan
isteri mereka sekalipun di hadapan seorang lelaki yang buta.
Dayus mengikut hadis ialah
lelaki atau suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah
dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya
membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh
sebarangan lelaki lain.
Dalam satu hadis
Rasulullah SAW menjelaskan erti lelaki dayus ialah seseorang (lelaki) yang
membiarkan kejahatan (zina, buka aurat, bergaul bebas) dilakukan oleh ahlinya
(isteri dan keluarganya).
Lisan al-Arab, 2/150 dan
an-Nihayah, 2/147 mendefiniskan dayus sebagai "seseorang yang tidak ada
perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya).
Imam Al-Aini pula berkata:
"Cemburu lawannya dayus" (Umdatul Qari, 18/228).
Manakala An-Nuhas pula
berkata cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi
isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki
bukan mahram " (Tuhfatul Ahwazi, 9/357).
Disebut dalam kitab
Faidhul Qadir bahawa dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki)
sehingga apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli
keluarganya ia tidak mengubahnya" (Faidhul Qadir, 3/327).
Imam Az-Zahabi pula
berkata dayus adalah sesiapa yang menyangka (atau mendapat tanda) bahawa
isterinya melakukan perkara keji (seperti zina) maka ia mengabaikannya
kerana cintanya kepada isterinya, maka tiada kebaikan untuknya dan
tanda tiada kecemburuan (yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya" (Al-Kabair,
1/62).
Imam Ibn Qayyim pula
berkata sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau
kecemburuan. Barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama
dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga
terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah
juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan
tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.
Imam Az-Zahabi menerangkan
lagi berkenaan perihal dayus dengan katanya dayus iaitu lelaki yang mengetahui
perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar senyap dan tiada rasa
cemburu (atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang
meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan
syahwat" (Al-kabair, 1/45).
No comments:
Post a Comment