Sunday, 27 March 2022

TANDA BERSYUKUR BETAPA BESARNYA NIKMAT HIDUP

 
Tanda bersyukur. Betapa besarnya nikmat hidup yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia.  Justeru, amat penting sekali kita sentiasa mengucapkan rasa bersyukur dengan pelbagai nikmat yang dikecapi itu. Terdapat tiga cara untuk menzahirkan rasa bersyukur iaitu melalui hati, lidah dan anggota badan. 

Bersyukur melalui hati dilakukan dengan mengakui bahawa semua apa yang dinikmati di dunia ini adalah anugerah Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. 

Perasaan sentiasa mengucap syukur di dalam hati akan menambahkan lagi rasa ketakwaan dan keimanan yang berterusan tanpa dilalaikan dengan godaan dunia.  

Bersyukur melalui lidah pula ialah dengan cara mengucapkan kalimah syukur iaitu alhamdulillah. Pengucapan perkataan alhamdulillah di mulut adalah kesinambungan daripada rasa kesyukuran yang lahir dari hati. 

Bagaimanapun, ada orang mengucapkan perkataan alhamdulillah sekadar di mulut untuk menipu orang lain. Perbuatan itu samalah seperti mempermain-mainkan perkataan alhamdulillah yang mulia.    

Sesiapa sentiasa mengucapkan kalimah alhamdulillah merasakan dirinya dekat dengan Allah. Hubungan itu membuktikan orang beriman sentiasa sedar bahawa kehidupannya dikuasai Allah sepenuhnya. 

Selain ucapan alhamdulillah, ucapan berbuntuk zikir yang memuji Allah juga sebahagian daripada tanda kesyukuran. Zikir adalah alat membersihkan hati dan mengagungkan Allah. Hanya Dia yang layak mendapat pujian. 

Pancaindera lidah yang dianugerahkan Allah digunakan untuk bercakap-cakap adalah satu amat berharga. Buktikan rasa bersyukur dengan cara menuturkan perkataan-perkataan yang baik dan menjauhkan maksiat melibatkan lidah seperti bercakap bohong, mengumpat dan menfitnah.

Khalifah Umar Abdul Aziz, seorang pemimpin Bani Umaiyah yang terkenal warak mengungkapkan kata-kata bermaksud: “Mengingati nikmat dengan cara berzikir itu adalah syukur. Maka semua nikmat itu adalah menganjurkan seseorang itu untuk kasih dan cinta kepada pemberinya.”

Manakala tanda bersyukur adanya anggota badan lain pula ialah dengan cara menggunakan untuk tujuan kebaikan. Jauhkan anggota badan daripada melakukan perbuatan jahat. Setiap bahagian anggota badan akan menjadi saksi di akhirat nanti atas apa yang dilakukan di dunia ini.  

Gambar: Memberi makan kepada kanak-kanak juga antara tanda bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan. Lokasi di Restoran Sri Kandar, Kampung Banggol, Jalan PCB.

No comments:

Post a Comment