Cengkih atau nama saintifiknya Syzygium
aromaticum merupakan sejenis tumbuhan yang bunganya digunakan sebagai rempah sejak
zaman dahulu lagi. Rempah cengkih merupakan kuntum bunga pokok cengkih yang
dikeringkan.
Pokok cengkih merupakan sejenis tumbuhan
malar hijau yang wangi dan tumbuh setinggi 8-12 meter. Daun-daunnya berkeadaan
lelembing dan bergagang pendek. Bunga-bunganya terhasil pada setiap hujung
ranting. Kudup-kudup bunga dipetik sebelum ia sempat mengembang menjadi bunga.
Kuntum bunga pada awalnya berwarna hijau,
dan bertukar merah apabila sudah mekar. Pada waktu ini, cengkih sedia dikutip
jika sudah mencapai panjang 1.5 sehingga 2 centimeter.
Cara pembiakannya ialah dengan menggunakan
biji benih. Hasil yang pertama boleh dipungut apabila pokoknya berumur tujuh
atau lapan tahun. Pokok cengkih akan terus mengeluarkan hasilnya sehingga
umurnya 60 tahun atau lebih lama jika dijaga dengan baik. Biasanya hasil setiap
tahun bagi satu pokok ialah 2.7 kg.
Bunga cengkih mengeluarkan aroma, digunakan
sebagai rempah dalam beberapa jenis masakan dan ia boleh juga dimakan bersama
daun sirih bagi menambah rasa manis dan lebih enak. Minyak cengkih digunakan
dalam perusahaan membuat ubat-ubatan dan minyak wangi. Di sesetengah negara,
cengkih dicampurkan dengan tembakau dalam rokok.
No comments:
Post a Comment