Saturday 4 November 2023

BURUNG CANDIK DIASUH SERTAI PERTANDINGAN

 
Di Kelantan sering diadakan pertandingan suara burung candik atau burung merbah jambul. Pertandingan biasanya diadakan pada hari Jumaat dan hari cuti. Kemerduan suara burung candik amat mengasyikkan dan unik yang menyebabkan banyak orang terjebak dengan hobi memelihara burung candik.  
 
Merbah jambul spesies burung tempatan semakin pupus. Kebanyakan burung merbah jambul yang diperlihara peminatnya diimport dari Thailand, Burma, Vietnam dan Kemboja. Dinamakan merbah jambul kerana pada bahagian kepalanya ada bulu berbentuk jambul menegak.
 
Harga seekor burung candik dibeli dari Thailand biasanya berharga sekitar RM50. Namun, harganya boleh mencecah ribuan ringgit apabila memenangi pertandingan, harganya meningkat sehingga RM1,000 seekor. Bahkan, burung candik yang kerap kali menang pertandingan, harganya boleh mencecah sehingga RM10,000 seekor.
 
Burung candik yang ingin masuk pertandingan perlu diasuh sebelum menyertai sebarang pertandingan. Asuhan itu melibatkan aspek kesihatan dan pemakanan. Asuhan juga melibatkan persekitaran atau mendedahkan kepada keadaan yang hampir sama dengan suasana di gelanggang pertandingan. .
 
Di Kota Bharu ada pusat asuhan burung candik bertempat di Bazar Tengku Anis, behampiran dengan Dataran Muhammadi. Tempat tersebut di hadapan dua kedai menjual makanan burung, peralatan sangkar dan keperluan lain berkaitan burung candik.
 
Seawal pukul 7.30 pagi sudah ada pemilik burung candik yang akan meletakkan sangkar di tempat gantung yang dikhaskan. Kebanyakan yang meletakkan burung adalah di kalangan mereka yang bekerja di Kota Bharu. Sebelum ke tempat kerja, mereka akan meletakkan burung di pusat asuhan tersebut dan akan mengambilnya apabila habis bekerja.
 
Pusat asuhan itu tidak mengenakan sebarang bayaran. Pun begitu, sebagai sokongan dan tanda terima kasih, pemilik burung akan membeli keperluan burung di kedai berkenaan yang secara langsung memberi pendapatan kepada pemilik pusat asuhan tersebut.
 
Sepanjang burung candik ditinggalkan di pusat asuhan tersebut, pengendalinya akan memandikan, membersihkan sangkar, menjemur dan memberi makan kepada burung itu.
 
Setiap hari tidak kurang daripada 30 ekor burung candik akan ditempatkan di pusat asuhan tersebut yang dibuka pada hari Sabtu hingga Rabu.
 
Terdapat dua kategori burung itu yang diasuh di tempat tersebut. Kategori pertama, burung 'main' yang sudah biasa menyertai pertandingan dan sedia untuk beradu. Kategori kedua ialah burung reban yang masih baru dan perlu diasuh sebelum menyertai pertandingan.
 
Sehari sebelum menyertai pertandingan, burung candik perlu “rehat”. Kebiasaan hari pertandingan ialah hari Jumaat. Jadi, pada hari Khamis burung candik tidak akan dihantar ke pusat asuhan.
 
Burung candik yang diletakkan di tempat terbuka dan sentiasa ada kenderaan dan orang ramai lalu di tempat itu memberi latihan dengan keadaan persekitaran di tempat pertandingan. Ini penting untuk membiasakan burung agar tidak takut dengan kehadiran orang ramai.
 
Pertandingan burung candik melibatkan penilaian empat kriteria iaitu galak, gaya, air suara dan hujung suara.



No comments:

Post a Comment