Thursday 23 May 2024

BAWA MASUK BASIKAL DALAM KTM KOMUTER

 
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membenarkan semua jenis basikal dibawa menaiki perkhidmatan KTM Komuter pada waktu tertentu secara percuma bermula 6 Ogos 2022.
 
Sebelum ini KTM Komuter mengenakan caj RM2 kepada pengguna yang membawa basikal. Bermula 18 April 2022, KTM Komuter mengumumkan tiada lagi caj dikenakan. Namun hanya basikal lipat atau 'folding bike' sahaja dibenarkan dibawa menaiki tren sepanjang masa pada hari hujung minggu.
 
Bagaimanapun, bermula 6 Ogos 2022, KTM Komuter membenarkan semua jenis basikal untuk dibawa menaiki tren komuter pada luar waktu puncak pada hari bekerja dan sepanjang masa pada hari minggu.
 
Ride and Ride dibenarkan dari jam 9.30 pagi hingga hingga 4 petang dan 8 malam hingga 12.30 tengah malam pada Isnin hingga Jumaat, manakala pada bila-bila masa untuk Sabtu dan Ahad.
 
Namun ada beberapa syarat yang ditetapkan oleh pihak KTMB, antaranya pastikan basikal yang dibawa tidak menghalang laluan pintu pada setiap masa, basikal tidak boleh ditinggalkan tanpa pengawasan pemilik dan koc yang dibenarkan hanyalah koc pertama dan koc terakhir atau di mana-mana koc yang kurang sesak.
 
Selain itu, roda basikal perlu ditutup sekiranya basah atau kotor, basikal lipat perlulah dilipat sepanjang berada di dalam stesen dan tren, dilarang menaiki basikal setelah berada di lobi stesen, platform dan di dalam tren.
 
Perlu diingatkan kebenaran hanya untuk KTM Komuter sahaja. Perkhidmatan tren ETS dan semua perkhidmatan KTM Intercity tidak membenarkan para penumpangnya membawa semua jenis basikal. Fasiliti dan kapasiti tempat duduk hanya untuk penumpang dan bagasi sahaja.
 
Gambar – Zamri Mohamad

No comments:

Post a Comment