Tuesday, 24 December 2024

FUNGSI JALUR RENTAS KUNING DI ATAS JALAN RAYA

 
Jalur rentas kuning merupakan satu daripada tanda jalan atau amaran kepada pengguna jalan raya supaya berwaspada dan mengawal halaju kenderaan. Ia adalah salah satu kaedah yang boleh digunakan mengikut kriteria dan kawasan yang bersesuaian serta disediakan secara melintang pada permukaan jalan raya.
 
Reka bentuknya juga boleh dibahagikan kepada dua jenis susun atur. Pertamanya adalah susun atur tipikal di mana jalur semakin merapat hampir pada kawasan kritikal seperti persimpangan, bulatan, lintasan pejalan kaki dan sebagainya. 

Susun atur kedua ialah jenis kelompok/amaran di mana ia sesuai untuk kawasan yang tiada kemungkinan kenderaan akan berhenti, seperti selekoh, bonggol jalan dan sebagainya.
 
Tandaan jalur rentas kuning dibuat melintang, dan meliputi seluruh jalan sehingga ke garisan tepi jalan. Ia perlu disediakan di bahagian jalan yang lurus sahaja bagi mengelakkan risiko kemalangan. Lebarnya pula ialah antara 300 ke 600 mm untuk setiap jalur dan ketebalannya ialah 2.5 mm sahaja.
 
Bagaimanapun, banyak jalur rentas kuning yang tidak menepati apa yang telah ditetapkan JKR. Rata-rata ketidakpatuhan itu berkaitan saiz dan juga ketebalan jalur serta lokasi ia diletakkan.
 
Fungsi sebenar jalur rentas kuning ini bukannya untuk memperlahankan kenderaan, terutama di lebuh raya. Begitu juga penggunaan jalur rentas kuning sepanjang laluan menurun bukit tidak akan memperlahankan kenderaan.
 
Jalur rentas kuning ini juga tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Ia tidak boleh digunakan dengan terlalu kerap kerana objektifnya akan hilang dan pengguna jalan raya akan hilang punca kenapa wujud jalur-jalur itu.
 
Selain itu, jalur yang terlalu tebal adalah merbahaya untuk motosikal kerana ia mengganggu dinamik kenderaan dan juga fokus penunggang. Untuk mengelak ketebalan jalur kuning semakin menebal, sebelum mengecap yang baharu, kikis atau buang dahulu yang asal.  
 
Garisan kuning ini dibuat begitu tebal sehingga hampir 2 cm mendatangkan bahaya kepada penungang motosikal, terutama ketika hari hujan. Sudahlah garisan ini licin apabila terkena hujan, ditambah dengan ketebalannya membuatkan ia tidak selamat apabila penunggang motosikal mahupun kenderaan membrek. Tayar tidak mencengkam dan berkeadaan melambung-lambung kenderaan yang dinaiki.
 
Dalam keadaan biasa pun, jika kita memandu kenderaan di jalan yang bergarisan kuning tebal, ia sudah memberi keadaan yang tidak selesa kepada pengguna. Keberadaan jalur kuning di selekoh pula boleh menyebabkan kenderaan “membuang”.
 
Semoga pihak yang membuat atau menyelia jalur kuning dapat melakukan seperti yang sepatutnya. Jangan nanti jalur kuning menjadi punca malapetaka, di sebalik niat asal untuk kebaikan.

No comments:

Post a Comment