Wednesday, 29 March 2023

KAIN SEPERAH ALAS HIDANGAN MAKANAN

 
Penduduk Kelantan banyak menggunakan perkataan daripada Bahasa Arab yang disebut dalam dialek Kelantan. Antara perkataan itu ialah “seperah”. Ia berasal perkataan Arab “safrah” yang bermaksud hamparan.
 
Seperah adalah kain alas untuk meletak hidangan makanan.  Ianya sangat terkenal pada zaman dahulu. Selalunya digunakan dalam majlis keraian seperti kenduri kahwin, pertunangan dan sebagainya. 
 
Seperah berbeza dengan alas meja, walaupun fungsinya sama untuk menjadi alas tempat meletak hidangan. Alas meja biasanya “kekal” diletakkan di atas meja, sedangkan seperah dihampar di atas lantai.
 
Seperah dihampar di atas lantai yang khusus untuk meletakkan hidangan untuk lima atau enam orang tetamu. Semua hidangan diletakkan di atas seperah untuk mengelak lantai atau tempat duduk menjadi kotor jika kuah tumpah.
 
Seperah juga menjadi “kawasan” bahawa di situ akan diletakkan makanan. Jadi, tetamu akan duduk bersila mengelilingi kain seperah biarpun hidangan belum diletakkan. Kerana ada majlis hanya akan mengangkat hidangan apabila ada tetamu duduk mengelilingi seperah.
 
Seperah akan dilipat atau diambil dari tempatnya apabila tetamu selesai makan. Jadi, jika ada sisa makanan atau kekotoran, ia akan diangkat bersekali. Kain seperah baharu akan dibentangkan untuk tetamu lain.
 
Kain seperah berbentuk segi empat sama. Ukuran lebih kurang 1 meter x 1 meter. Biasanya kain jenis kain kapas (cotton) sama ada berwarna putih atau warna lain. Ada yang bercorak dan kosong.

No comments:

Post a Comment