Monday, 10 April 2023

UBI SAREK SEDAP DIMAKAN

 
Ubi sarek (Amorphophallus campanulatus Blume) atau lebih dikenali sebagai sarek di Kelantan merupakan sejenis tumbuhan yang berbatang lembut seperti batang keladi. Ia sebenarnya sejenis keladi.
 
Daunnya berbentuk jejari. Bunganya keluar dari bahagian tanah yang menampakkan ia seakan satu pokok. Bunganya berbau busuk ketika mekar sehinggalah ia layu. Sebab itu ia juga dikenali sebagai pokok bangkai.
 
Pokok sarek jenis pokok bermusim dan biasanya ia akan tumbuh selepas musim hujan dan akan mati bila sampai masanya. Pada musim kemarau panjang pokok ini juga akan menjadi 'dorman' atau mati jika kekurangan air. Ia akan tumbuh kembali apabila ada air mencukupi.
 
Pokok ini akan hidup subur di kawasan lembab dan redup di dalam hutan belukar. 
 
Batang sarek berwarna hijau dengan tompok-tompok putih menyebabkan ianya dipanggil ubi ular kerana coraknya yang hampir menyamai kulit ular. Nama lain ubi sarek ialah ubi kekek.
 
Pokok sarek menghasilkan ubi besar di bahagian bawah batang. Satu pokok hanya menghasilkan satu ubi. Ubinya bertekstur seperti isi keladi.
 
Batang pokok ubi sarek boleh dicelur untuk dijadikan ulam, boleh dimasak lemak atau boleh juga dijadikan sayur.
 
Ubi sarek mengandungi kalsium oksalat yang tinggi dan menyebabkan rasa gatal. Ada cara proses yang boleh dilakukan bagi mengelak rasa gatal dengan cara merendam ubi yang telah direbus di dalam air mengalir atau dibasuh beberapa kali sebelum ditumbuk dan dimasak sekali lagi untuk dimakan.
 
Di Kelantan ubi ini selalunya dijadikan campuran untuk membuat sura selain juga dijadikan pengat.
 
Di sesetengah negara seperti China, ubi sarek diproses dan dijadikan makanan seperti tauhu, Manakala di Jepun pula, tepung yang terhasil darinya dijadikan makanan seperti bihun. Ia juga dijadikan makanan ikan.


 


Sumber gambar - internet

No comments:

Post a Comment