Pokok kekabu juga dikenali dengan nama randu
dan kapok cukup terkenal di kalangan masyarakat Melayu. Dahulu boleh dikatakan
di setiap kawasan kampung terdapat pokok kekabu.
Pokok kekabu banyak tumbuh di kawasan Asia
Tenggara, termasuk Malaysia. Nama botaninya Ceiba pentandra. Ia tergolong dalam
famili Bombacaceae.
Pokok kekabu memiliki daun yang jarang dan
dahan mendatar bertingkat pada sudut mendatar. Pokok kekabu malar hijau ini
memiliki batang kelabu pucat berduri. Pokok kekabu biasanya tidak mempunyai
teras.
Pada masa dahulu pokok kekabu ditanam
kerana buahnya yang menghasilkan kekapas yang dijadikan gentian pelbagai guna
yang penting pada suatu masa. Pada masa sekarang kekabu masih digunakan sebagai
isian bantal dan tilam cara tradisional.
Bagaimanapun, penggunaan kekabu semakin
berkurangan apabila terdapat gentian tiruan yang lebih digemari. Tambahan pula
wujud kekurangan bekalan kekabu disebabakan pokok tersebut tidak ditanam secara
ladang. Jadi, bekalan kekabu sukar diperoleh untuk tujuan industri.
Bantal atau tilam yang disi dengan kekabu
mampu bertahan sehingga 20 tahun, tetapi ia perlu dijauhkan dari air, dan dijemur
dan dipukul dengan pemukul rotan bagi menyingkir debu kekabu yang telah hancur.
Buah kekabu memiliki kelongsong bujur yang
menyerupai buah koko. Kelongsong berkayu itu tumbuh segugus seperti timun kecil.
Pada mulanya ia bewarna hijau dan kemudian bertukar perang dan kehitaman
apabila matang. Apabila mencapai tempoh buah kekabu akan pecah kepada lima
bahagian dari hujung ke pangkal dan membebaskan biji benihnya yang diselitupi
dengan kekabu.
Buah kekabu yang telah berbuka akan
membebaskan gentian lembut putih yang berterbangan jatuh ke tanah, selain ada
yang terus terletak di empulur yang masih melekat di tangkai untuk beberapa
ketika, sebelum jatuh.
Gentian yang gugur perlu dikutip segera
sebelum ia diterbangkan lebih jauh ke tempat lain.
Gentian lembut bersutra, putih kekuningan
merupakan unjuran dari dinding dalam kelonsong berkayu yang turut menyelitupi
biji benih dalamnya. Ini berbeza sama sekali dari pokok kapas di mana gentian
itu terbentuk daripada penutup luar biji benih.
No comments:
Post a Comment