Peribahasa “macam belangkas” bermaksud dua orang yang terlalu rapat perhubungannya dan tidak boleh dipisahkan.
Mengapa orang dahulu menjadikan belangkas sebagai pelambangan untuk
menggambarkan keadaan tersebut?
Kehidupan belangkas jantan dan betina memang
unik. Binatang hidupan laut itu memperlihatkan fenomena
belangkas jantan sentiasa menenggek di belakang belangkas betina ini. Kalau
tidak bertenggek, pasti berada amat rapat antara jantan dan betina.
Ada orang mengatakan, belangkas jantan tidak pandai mencari makan sendiri. Hanya
bergantung hidup kepada belangkas betina mencari makanan yang akan dikongsikan
dengannya. Sebab itulah belangkas jantan perlu sentiasa berada dengan belangkas
betina.
Kalau betullah begitu, entah bagaimanalah
nasib belangkas jantan yang terpisah dengan belangkas betina. Mungkin belangkas
jantan mati kelaparan atau mati merana. Walau bagaimanapun, nasib belangkas
jantan tentu lebih baik berbanding belangkas betina yang ditangkap dan
dikorbankan untuk mendapatkan telurnya. Belangkas jantan boleh mencari
belangkas betina lain untuk meneruskan hidup.
Belangkas atau nama saintifiknya tachypleus
gigas bukan saja dianggap sebagai hidupan eksotik, tetapi spesies unik ini
sebenarnya sudah wujud lebih 200 juta tahun serta mendahului dinosaur dengan
fosil tertua kira-kira 475 juta tahun.
Haiwan daripada keluarga Limulidae ini
hidup di laut dan paya air payau, malah agak unik apabila hidupan akuatik ini
juga tergolong dalam kumpulan ‘arachnids’ iaitu labah-labah berikutan mempunyai
sedikit persamaan pada bahagian kaki.
Secara fizikalnya, bentuk badannya
seakan-akan topi besi digunakan tentera zaman dahulu dan juga mempunyai ekor
yang panjang dan tajam. Malah, ia boleh mencapai saiz sehingga 51 sentimeter,
selain anggotanya yang putus boleh tumbuh semula serta mempunyai sistem
keimunan yang menakjubkan.
Belangkas halal dimakan. Bagaimanapun,
bahagian yang boleh dimakan hanya telurnya. Bahagian tubuh belangkas tidak
tidak banyak isi. Jadi, hanya belangkas betina yang dicari untuk mendapatkan
telurnya.
No comments:
Post a Comment