Wednesday 3 July 2024

TELUR BELANGKAS GULAI MASAK LEMAK CILI API

 
Belangkas atau nama saintifiknya tachypleus gigas bukan saja dianggap sebagai hidupan eksotik, tetapi spesies unik ini sebenarnya sudah wujud lebih 200 juta tahun serta mendahului dinosaur dengan fosil tertua kira-kira 475 juta tahun.
 
Haiwan daripada keluarga Limulidae ini hidup di laut dan paya air payau, malah agak unik apabila hidupan akuatik ini juga tergolong dalam kumpulan ‘arachnids’ iaitu labah-labah berikutan mempunyai sedikit persamaan pada bahagian kaki.
 
Secara fizikalnya, bentuk badannya seakan-akan topi besi digunakan tentera zaman dahulu dan juga mempunyai ekor yang panjang dan tajam. Malah, ia boleh mencapai saiz sehingga 51 sentimeter, selain anggotanya yang putus boleh tumbuh semula serta mempunyai sistem keimunan yang menakjubkan.
 
Belangkas halal dimakan. Bagaimanapun, bahagian yang boleh dimakan hanya telurnya. Bahagian tubuh belangkas tidak tidak banyak isi. Jadi, hanya belangkas betina yang dicari untuk mendapatkan telurnya.
 
Telur belangkas adalah makanan paling lazat jika kena masakannya. Telur belangkas mempunyai khasiat tertentu jika kita mengamalkan makanan berkenaan sama ada dibakar atau dimasak.
Cara paling berkesan supaya telur belangkas sedap dimakan ialah dengan mengambil kesemua telur belangkas lalu dibasuh dengan air asam jawa, kemudian dibilas dengan air bersih.
 
Menyiang belangkas secara menanggalkan isi dan telur belangkas daripada cangkerangnya. Bahagian lainnya yang digulai ialah ’caping’ belangkas itu. Bahagian itulah yang ada ’isi’nya. Bahagian pangkal kaki belangkas juga digulai dan bahagian ini ada isi, sebagaimana kita memakan kaki ketam. Bahagian hujung kaki yang seakan-akan kuku itu dipotong dan dibuangkan.
 
Sebenarnya yang betul-betul boleh dimakan pada seekor belangkas ialah telurnya. Bukan sepanjang masa belangkas bertelur. Kita boleh kenal belangkas itu bertelur atau tidak dengan melihat bahagian ’perut’ belangkas itu berisi atau tidak.
 
Telur belangkas itu ditoskan untuk beberapa ketika dan kemudian dimasukkan semula ke dalam lapik kelungsung lidah yang terdapat pada badan belangkas iaitu di sebelah dalam bahagian ekor.

Bahagian itu dijadikan sebagai pundi untuk menempatkan semua telur belangkas lalu dimasak, paling baik digulai masak lemak dicampur dengan ikan mayung atau ikan jenahak. Bungkusan telur ini menjadi padat seperti ketupat bila sudah masak dan sedia untuk dimakan.

Cuma kita jangan makan terlalu banyak. Ini kerana lemak telur belangkas boleh mengkhayalkan seseorang itu jika makan berlebihan.

Pening itu memang tidak dapat dielak tetapi ia tidak merbahaya. Cuma satu saja yang mesti kita ingat kalau makan tu jangan ikut nafsu sebab benda yang sedap membuatkan kita lupa tentang kenyang. 



No comments:

Post a Comment