Masjid Habib yang terletak di Bandar Tanjong Pinang, Georgetown
siap dibina sepenuhnya dengan kos RM30 juta, secara rasmi diisytiharkan sebagai
Masjid Daerah Timur Laut, sekali gus menjadi pusat ibadah dan komuniti baharu
di Pulau Pinang.
Pembinaan yang bermula pada 2022 itu bagi merealisasikan
impian murni allahyarham Datuk Habib Mohamed Abdul Latif untuk membina sebuah
masjid di kampung halaman keluarga mereka di Pulau Pinang.
Masjid itu yang dibina dan dibiayai sepenuhnya oleh Kumpulan
Habib, mampu menampung lebih 1,600 jemaah dan dilengkapi kemudahan lain untuk
kegunaan awam seperti bilik kuliah, bilik mesyuarat serta dewan serba guna
untuk majlis perkahwinan dan acara tertentu bagi memenuhi keperluan masyarakat
setempat.
Masjid Habib bukan sekadar tempat ibadah, tetapi turut
berperanan sebagai pusat komuniti yang menyatukan masyarakat tanpa mengira
latar belakang, selain menjadi medium dakwah dan pengenalan keindahan Islam
kepada pelancong bukan Islam.
Masjid Habib direka dengan konsep yang mengutamakan
keselesaan dan kemudahan persekitaran, dengan reka bentuk menitikberatkan
kemudahan serta mesra pengguna, khususnya untuk warga emas, wanita dan
kanak-kanak, malah keutamaan diberikan kepada aspek fungsi dan keselesaan tanpa
hiasan berlebihan.
Selain itu, sebagai tanda penghargaan kepada golongan wanita
yang menjadi antara penyokong utama jenama Habib, perhatian turut diberikan di
ruang persalinan wanita yang direka dengan selesa, praktikal dan terjaga.
Reka bentuk kubah masjid itu diinspirasikan daripada
potongan intan yang unik sebagai penghormatan kepada budaya pemakaian barangan
kemas.
Rekaan dan hiasan dalaman masjid ini pula menerapkan unsur
seni Jawi Peranakan Pulau Pinang, yang dihasilkan melalui proses penyelidikan
dan pemerhatian yang teliti.
Tapak Masjid Habib mempunyai latar belakang sejarah yang
unik kerana tanah seluas 8,878.8 meter persegi atau kira-kira 2.19 ekar itu
adalah tanah serahan daripada pemaju Eastern & Oriental Berhad (E&O).
Ia sebagai sebahagian daripada syarat Pelan Kebenaran
Merancang bagi pembangunan projek pulau buatan yang dinamakan sebagai Pulau
Andaman.
Tanah itu telah didaftarkan atas nama MAINPP pada 5 Mei 2004
sebagai Lot PT 702, Seksyen 1, Tanjung Tokong, khusus bagi tujuan pembinaan
masjid.

No comments:
Post a Comment