Wednesday 11 August 2021

Bertikam lidah ingin urus jenazah

KOTA BHARU: Pembayaran pengurusan jenazah pesakit COVID-19 di Kelantan yang berada pada kadar di antara RM1,300 sehingga RM1,900 seorang, bukan sahaja dianggap tidak munasabah, malah disifatkan membebankan waris mangsa.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Al Kautsar, Muhammad Imdaadullah Muhammad Asri, berkata pembayaran yang tinggi itu tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, sebagai wakil badan bukan kerajaan (NGO) beliau pernah turut membantu keluarga pesakit COVID-19 menjelaskan bayaran sebanyak RM1,300 kepada seorang 'ustazah' yang menguruskan jenazah pesakit COVID-19 yang diuruskan di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada Jun lalu.

Katanya, pada awalnya individu yang menguruskan jenazah itu, meminta bayaran sebanyak RM1,900, tetapi selepas berbincang mereka menurunkan bayaran kepada RM1,300.

"Sebenarnya untuk menguruskan jenazah ini hanya diberikan secara percuma atau bayaran yang tidak melebihi RM200 sahaja untuk kos tayamum seperti pekeliling dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

"Namun, disebabkan ada pihak yang mahu mengambil kesempatan dalam pengurusan jenazah, jadi bayaran untuk urus jenazah pesakit Covid-19 dengan hanya tayamum meningkat di antara RM1,300 hingga RM1,900," katanya ketika ditemui di Demit, Kubang Kerian di sini, hari ini.

Muhammad Imdaadullah berkata, ramai keluarga yang tidak mampu untuk menanggung kos bayaran yang mahal, tetapi mereka terpaksa membayar kos itu bagi mempercepatkan proses pengurusan jenazah.

Katanya, ahli keluarga bukan sahaja perlu membayar kos tayamum, malah mereka perlu membayar kos lain termasuk van jenazah, gali kubur dan keranda.

"Pihak kami juga pernah 'bertikam lidah' dengan pihak pengurusan jenazah apabila mereka berkeras mahu menguruskan jenazah kerana tidak mahu bertembung dengan NGO yang menawarkan perkhidmatan secara percuma.

"Tidak logik apabila jenazah yang meninggal dunia akibat COVID-19 masih ada di dalam wad tetapi sudah ada ustaz atau pengurus jenazah yang menunggu di Unit Forensik.

"Apabila kami sampai untuk menawarkan pengurusan secara percuma, kami terpaksa 'bertikam lidah' dengan mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka ini mengambil kesempatan dan dipercayai turut adanya 'orang dalam' yang sama-sama mahu mengaut keuntungan di atas kesedihan orang lain," katanya.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya sudah memberi bantuan menguruskan jenazah secara percuma kepada kira-kira 10 keluarga pesakit COVID-19 dan puluhan mangsa lain.

Katanya, mereka ikhlas dan tidak mahu ada pihak lain yang mengambil kesempatan mengenakan caj yang tinggi.

"Selain Pertubuhan Kebajikan Al Kautsar, orang ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan pengurusan jenazah percuma, boleh cari beberapa NGO lain termasuk Tengku Harith Team Ventures, Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dan lain-lain lagi," katanya.

Sumber:

 

No comments:

Post a Comment