Manusia
diciptakan Allah SWT dengan ada sifat semula jadi yang antara lainnya ialah
perasaan malu, yakni berasa aib (hina, rendah) kerana membuat sesuatu yang
salah atau tidak sopan, berasa tidak senang melakukan perkara yang dilarang
Allah SWT.
Justeru, sifat malu mampu menjadi perisai daripada melakukan perbuatan buruk
dan dosa. Oleh sebab itu, sifat malu perlu ada dalam diri setiap muslim yang
juga untuk membentuk sikap takwa, yakni malu atau takut untuk melakukan perkara
yang ditegah.
Kajian
ahli psikologi mengatakan, sifat malu dapat membantu membantu tingkah laku dan
akhlak manusia ke arah yang baik. Bagaimanapun sifat pemalu yang tidak betul
pada tempatnya boleh menjejaskan imej dan peluang seseorang untuk mendapat
kebaikan.
Oleh
sebab itu, sifat malu mesti bertempat dan kita ditegah berperasaan malu
melakukan perbuatan yang memberi keuntungan dan kebaikan.
Malu
diwajibkan kerana perasaan itu termasuk sebahagian daripada iman seperti mana
dijelaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Malu itu sebahagian
daripada iman." (Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi)
Jika
manusia mengetahui Allah SWT sudah memberikan pelbagai kenikmatan kepada mereka
seperti mata yang dapat melihat, telinga yang boleh mendengar dan lidah boleh
berkata-kata, sepatutnya mereka malu melakukan maksiat dengan nikmat diberikan
itu.
Amat
malang sekali apabila manusia secara angkuh menggunakan nikmat diberikan oleh
Allah SWT untuk melakukan maksiat dan mengatakan perbuatan itu tidak salah,
malah berbangga dapat melakukannya.
Ada
individu mendedahkan dan mendabik dada memberi tahu orang lain tentang perbuatan
dosa yang telah dilakukan itu.
Sabda
Rasulullah SAW bersabda: "Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali
orang-orang menampak-nampakkannya dan sesungguhnya di antara menampak-nampakkan
(dosa) adalah seorang hamba yang melakukan amalan di waktu malam sementara
Allah telah menutupinya kemudian di waktu pagi dia berkata: 'Wahai fulan
semalam aku telah melakukan ini dan itu, padahal pada malam harinya (dosanya) telah
ditutupi oleh Rabbnya.
“Dia
pun bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya dan pada pagi
harinya dia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh Allah" (Hadis riwayat
Bukhari)
Golongan
yang telah tersesat jauh akan mempengaruhi orang lain agar melakukan perbuatan
dosa dan berasa bangga apabila berjaya mengajak orang lain melakukan sama.
Sikap
itu seperti apa yang dilakukan syaitan apabila ingkar perintah Allah SWT agar
sujud kepada Adam dan berjanji akan mengajak manusia melakukan penderhakaan
terhadap Allah SWT.
Manusia
yang hilang rasa malu, akan berbuat semahunya apa yang diingini tanpa
mempedulikan adanya aturan dan kesopanan yang ada dalam masyarakat. Tidak
hairan jika berlaku gejala bohsia, lari dari rumah, bersekedudukan, terbabit
penagihan dadah dan perzinaan.
Perbuatan
yang semakin menular dalam masyarakat itu berjaya mempengaruhi orang lain
sehingga menjadi satu perbuatan lumrah atau biasa terjadi.
Kejadian
itu menyebabkan pelakunya tidak lagi merasa malu dan menganggapnya perkara
biasa. Jika tidak dibendung akan menyebabkan moral masyarakat berada di tahap
paling rendah.
Tidak
dinafikan perbuatan ini berlaku disebabkan kurang didikan agama yang
menyebabkan mudah terpengaruh dengan hasutan syaitan dan menganggap perkara itu
sesuatu yang mengasyikkan. Mereka merasakan adalah rugi jika tidak melakukan
perbuatan itu.
Gambar: Sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment