Sesungguhnya
Allah menurunkan peringatan melalui musibah agar manusia memperbetulkan atau meninggalkan amalan dosa
yang dilakukan. Allah menurunkan musibah kecil sebelum musibah besar sebagai
satu peringatan. Allah memaafkan
dosa-dosa yang dilakukan jika manusia insaf dan bertaubat.
Firman
Allah bermaksud: “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada kesusahan (bala
bencana) maka adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan
dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu.”
(Surah asy-Syura, ayat 30)
Ada
dosa dihapuskan Allah melalui pembalasan dalam bentuk musibah. Setiap musibah
menimpa orang beriman adalah kiffarah (penghapus) kekotoran dosa.
Oleh
itu, orang beriman berasa bertuah dikenakan musibah sebagai pembalasan. Mereka sedar walaupun seberat mana musibah di
dunia ini, tentulah tidak seberat diterima di akhirat.
Di
dunia masih ada ruang untuk memperbaiki kesalahan dan bertaubat. Sedangkan di
akhirat tidak boleh diubah, sekadar menerima pembalasan apa dilakukan di dunia.
Pengampunan
dosa dengan cara musibah berkesan jika menginsafi musibah itu, yakni menerima
dengan reda, sabar dan bertaubat. Sebaliknya, jika tidak ada keinsafan, bahkan
menyalahkan Allah apa dialami, maka musibah itu bakal menimbulkan musibah lebih
buruk.
Firman
Allah bermaksud: “Mereka yang ditimpa musibah mengucapkan: “Kita semua
kepunyaan Allah dan kepada Allah kita akan kembali’. Mereka itulah akan
mendapat keberkataan sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan juga orang
yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 156-157)
Justeru,
apabila berdepan dengan musibah, tindakan pertama perlu dilakukan ialah reda apa
berlaku. Sesiapa menerima musibah dengan reda akan mendapat keredaan Allah. Beruntunglah
siapa mendapat reda Allah.
Rasulullah
SAW bersabda bermaksud: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut
besarnya sesuatu bencana ujian dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum
diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia
akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci
menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah." (Hadis
riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)
Sebesar
mana musibah menimpa perlu dihadapi dengan tabah. Anggaplah musibah menimpa
sebagai peluang memperbaiki kehidupan. Ada sinar harapan menanti bagi orang
sabar.
No comments:
Post a Comment