Monday, 11 April 2022

SYARAT PAKAIAN UNTUK WANITA ISLAM

 
Dalam membicarakan soal pakaian wanita, Islam tidak menetapkan jenis pakaian tertentu, tetapi wanita Islam perlu mengikuti garis panduan syarak seperti berikut:

- Pakaian itu hendaklah menutup aurat. Bagi wanita seluruh anggota tubuh kecuali muka dan tapak tangan.

- Pakaian itu hendaklah longgar, tidak sempit atau ketat hingga menampakkan susuk tubuh badan. Usamah bin Zaid pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah menerima hadiah sejenis kain Qibtiah yang kurang tebal daripada seorang yang bernama Dahiyah Al-Albi dan Rasulullah SAW pula menghadiahkan kain tersebut kepada beliau (Usamah bin Zaid), untuk dibuat pakaian tetapi Usamah memberikan kepada isterinya.

Suatu hari Rasulullah SAW bertanyakan Usamah: "Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?" Usamah menjawab: "Saya telah berikan kepada isteri saya". Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada Usamah: "Suruhlah isterimu mengalaskan kain tersebut dengan kain yang lain di bawahnya, kerana aku bimbang jika kain Qibtiah itu tidak digalas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang-tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu)".

- Pakaian itu diperbuat daripada kain yang agak tebal, tidak nipis atau jarang yang boleh menampakkan bayangan tubuh badan. Selain daripada itu, pakaian wanita hendaklah dibuat dari kain yang tidak terlalu licin dan lembut hingga melekat di tubuh dan membayangkan kulit pemakainya. Pakaian yang dibuat daripada kain-kain tersebut boleh mempamerkan rupa bentuk anggota badan wanita yang boleh mengghairahkan lelaki yang memandangnya.

- Pakaian itu tidak menyerupai pakaian lelaki. Larangan bagi seorang lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya ada di dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah SAW. Sabda Rasalullah SAW bermaksud: “Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. – (Hadis riwayat Bukhari).

- Pakaian itu tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir atau musyrik. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

No comments:

Post a Comment