Monday 15 August 2022

PERLU IKHLAS MENCARI ILMU SEHINGGA KE AKHIR HAYAT

 
Ilmu adalah satu keperluan untuk manusia mencapai kebaikan dan kesejahteraan di dunia mahupun di akhirat. Betapa pentingnya menuntut ilmu apabila diwajibkan kepada setiap kaum mukmin. Sabda Nabi SAW: “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap kaum muslimin” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Kepentingan menuntut ilmu juga jelas satu keperluan apabila dijelaskan bahawa perlu ada orang pergi menuntut ilmu, di samping sebahagian yang lain pergi ke medan perang. Pergi berjuang ke medan perang satu jihad yang besar. Begitu jugalah pergi atau berusaha menuntut ilmu.

Firmann Allah SWT yang bermaksud: “Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya ” (Surah al-Taubah ayat 122)

Para ulama telah mengarang banyak kitab mengenai adab menuntut ilmu misalnya kitab Ta’lim al-Muta’alim karangan al-Imam al-Zarnuji rahimahullah yang banyak diajarkan di pondok-pondok, pesantren dan masjid-masjid di nusantara.

Di dalam kitab ini banyak menyebutkan tentang adab-adab ketika menuntut ilmu yang perlu diamalkan dan diraikan sebagai seorang penuntut ilmu seperti adab bersama guru, adab bersama ilmu, adab bersama kitab, dan lain-lain lagi.

Namun begitu, adab yang paling utama perlu ditekankan oleh para penuntut ilmu dan pengajar ilmu itu sendiri iaitu keikhlasan niat kepada Allah SWT.

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya....” (Surah al-Bayyinah ayat 5).

Menuntut ilmu adalah sebahagian daripada ibadah, justeru ketika mana kita melaksanakan sebarang ibadah, maka niatlah yang paling diutamakan.

Hal ini kerana, niat adalah adalah adab yang paling agung dalam menuntut ilmu di samping dapat mengingatkan kepada diri mereka agar sentiasa ikhlas kerana Allah SWT ketika menulis dan mengarang kitab.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Amal itu tergantung niatnya, dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya karena dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana ia hijrah” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis ini, dapat difahami bahawa setiap perkara dan amalan yang dilakukan, dihitung berdasarkan niatnya.

Maka kita sebagai penuntut ilmu secara amnya ketika menuntut ilmu, perlulah berniat ikhlas hanya kerana Allah SWT semata-mata bukan kerana kebendaan sambil berharap dengan ilmu yang dipelajari dapat memperbaiki diri yang jahil dan dapat menyebarkannya kepada orang lain.

Justeru, kepada mereka yang ingin menyambung pengajian ke universiti atau pusat pengajian tinggi, betulkan niat bahawa tujuan untuk belajar adalah untuk mendapat ilmu. Dengan ilmu itulah kemudiannya digunakan untuk kebaikan, termasuk mendapat peluang pekerjaan atau kerjaya yang baik.

Jangan persia-siakan peluang menuntut ilmu ketika masih ada ruang. Mereka yang berilmu pastinya dapat menggunakan ilmu yang dipelajari itu ke arah kehidupan lebih baik.

Pengalaman atau proses menuntut ilmu memberi peluang untuk seseorang terus mengamalkan pengalaman itu dalam hal berkaitan pencarian ilmu dalam bidang lain pula.

Tambah-tambah lagi ketika era ledakan ilmu yang bergitu pantas sekarang ini. Sebab itu proses menuntut dan menguasai ilmu perlu dilakukan sepanjang masa agar ia menepati keperluan ilmu terkini.

Kita seharusnya mencontohi sikap ilmuan yang terus berusaha mencari ilmu dan menyebarkan kepada orang lain. Mereka tidak berhenti mencari ilmu dan menyebarkan sehinggalah ke akhir hayat.

No comments:

Post a Comment