Wednesday, 31 January 2024

PERIBAHASA “GANTANG”

 
Dalam peribahasa Melayu ada yang menggunakan perkataan "gantang" Gantang merupakan alat sukatan isi padu yang digunakan oleh masyarakat Melayu pada masa dahulu. 
 
Antara peribahasa yang menggunakan perkataan gantang ialah bagai melukut di tepi gantang. Bagai melukut di tepi gantang adalah menggambarkan keadaan seseorang yang tidak lagi berdaya dan tidak lagi berguna, serta tidak mampu membantu orang lain, bahkan dirinya sendiri tidak mampu berbuat apa-apa.

Dalam peribahasa ini, perkataan melukut adalah satu perkataan, bukannya gabungan imbuhan 'me' dengan perkataan 'lukut'.

'Melukut' bermaksud butiran beras hancur atau sisa-sisa, hujung-hujung beras yang patah atau habuk-habuk beras. Dalam istilah Jawa dipanggil 'menir'.

Jadi mengapa digunakan gambaran beras dalam peribahasa ini? Kerana beras secara asalnya sangat penting dalam sosiobudaya Melayu, sebagai makanan ruji masyarakat di dalam Alam Melayu. 

Beras yang disukat menggunakan gantang lebih penting lagi kerana selain digunakan untuk sukatan menanak nasi, beras juga pernah ketikanya dijadikan sebagai tukaran mata wang untuk urus niaga harian orang Melayu.

Namun, tidak bagi melukut. Ia sisa beras yang tidak lagi diperlukan. Beras jika sudah jadi melukut, ia tidak lagi bernilai, malah tidak layak pula untuk dijadikan makanan.

Melukut tidak akan disukat di dalam gantang, kerana ia tidak lagi bernilai seperti beras sempurna.

Begitulah juga kita sebagai orang Melayu, jangan sampai kita melukut di tepi gantang, kelak hina tiada siapa yang pandang.
 
Peribahasa lain menggunakan perkataan gantang ialah “mengisi gantang pesuk (tembus aau berlubang)” yang membawa maksud membuat pekerjaan yang tidak menguntungkan atau sia-sia. 
 
Satu lagi peribahasa yang terkenal yang ada istilah gantang ialah “secupak tak akan jadi segantang”, yang bermaksud sesuatu yang tetap dan sukar diubah lagi.
 
Menggantang asap pula bermaksud menginginkan sesuatu yang sukar dicapai.
 
Manakala peribahasa menggantang anak ayam pula bermaksud membuat pekerjaan yang amat susah.
 
Satu lagi peribahasa menggunakan perkataan gantang ialah penuh sudah bagai gantang yang bermaksud cukup atau benar-benar penuh.

No comments:

Post a Comment