Sombong adalah sikap semula jadi yang wujud
dalam setiap diri manunia. Maka, sikap sombong akan terzahir dengan sendirinya
apabila wujud sesuatu yang boleh menyebabkan perasaan itu timbul.
Kita bukan malaikat yang tidak berdosa.
Akuilah diri kita ada sifat itu dan buatlah penawar bagi melemahkan kuasa
kesombongan itu.
Antara punca wujud sifat sombong ialah
kelebihan berkaitan zahir seperti paras rupa, nasab keturunan, ilmu, harta,
pangkat dan kedudukan. Ada juga yang menjadi sombong disebabkan merasakan
dirinya telah mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah kerana kehebatan
amalannya.
Di sinilah cabaran menentukan kekuatan iman
dan takwa seseorang. Kita diuji dengan pelbagai kelebihan untuk melihat sama
ada kita bersyukur atau menjadi manusia yang sombong.
Antara cara menghilangkan rasa sombong dan
angkuh ialah mengakui yang paling agung dan berkuasa adalah Allah. Segala
kelebihan yang dimiliki adalah dipinjamkan oleh Allah dan boleh ditarik pada
bila-bila masa sahaja.
Allah SWT telah mengingatkan agar manusia
tidak berlagak sombong kerana hakikatnya manusia adalah makhluk lemah. Hanya
Allah SWT yang paling berkuasa.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan
janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya
engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai
setinggi gunung-ganang.” (Surah al-Isra’, ayat 37)
Sesungguhnya sikap sombong punca iblis
menjadi hamba yang durhaka. Peristiwa kesombongan iblis ini Allah ceritakan
dalam al Quran.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah)
ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada
Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis;
ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” (Surah
al Baqarah, ayat 34)
Semakin tinggi kedudukan seseorang
seharusnya menyebabkan diri merasa bertambah tawaduk. Kedudukan, kekayaan dan
kelebihan yang dimiliki adalah satu amanah yang perlu digunakan
sebaik-baiknya.
Kebencian Allah kepada si penyobong ini
terakam di dalam sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Orang yang zalim dan
sombong akan dihimpun pada hari kiamat dalam rupa semut. Manusia
menginjak-injak mereka kerana kehinaan diri mereka di hadapan Allah."
(Hadis riwayat Tirmizi)
No comments:
Post a Comment